Friday, April 19, 2013

Afdlin Shauki Rancang Buka Klinik Perubatan Islam

Afdlin Shauki.
KUALA LUMPUR: Sejak berhijrah menjadi Muslim yang lebih bertakwa pada Februari lalu pelakon dan pengarah Afdlin Shauki mahu mengembangkan kerjayanya pula dengan mendalami ilmu-ilmu perubatan Islam.
Afdlin atau nama sebenarnya Afdlin Shauki Aksan, 42, berkata dia telah berniat untuk membuka sebuah klinik perubatan Islam yang menggunakan cara-cara rawatan mengikut sunnah Rasulullah SAW.
"Sekarang ini saya banyak meluangkan masa membaca buku-buku ilmu Islam termasuklah kaedah perubatan mengikut sunnah.
"Saya mahu mendalami perubatan itu agar dapat membuka sebuah klinik perubatan Islam untuk masyarakat kita.
"Dengan adanya klinik perubatan ini, ia lebih mudah untuk sesiapa sahaja mendapatkan rawatan," katanya.
Tambah duta kepada Aqsa Syarif Berhad ini, dia mempelajari ilmu-ilmu perubatan itu menerusi ustaz-ustaz dan mereka yang pakar dalam bidang berkenaan.
Dalam pada itu berkongsi pengalamannya berhijrah Afdlin berkata, dia kini tidak lagi menonton persembahan kumpulan-kumpulan muzik di kelab-kelab malam seperti yang biasa dilakukannya dahulu.
"Dulu saya suka dengar muzik di kelab-kelab malam. Suka melihat persembahan ‘band’ di sana.
"Sekarang tidak lagi. Tapi ini tidak bermakna saya tidak sukakan muzik. Saya masih lagi dengar muzik, cuma konsep muzik saya kini lebih ke arah mesej pengajaran serta ketuhanan.
"Malah saya juga mula menyimpan janggut sampaikan ibu dan isteri saya berasa janggal melihat wajah saya," selorohnya.
Kata Afdlin, dia turut menonton semula filem-filem yang pernah diarahnya sebelum ini untuk menilai perkara baik dan buruk dalam karya berkenaan.
Sementara itu, Afdlin yang juga kad prabayar Tune Talk mengajak masyarakat membantu rakyat Palestin dengan membeli kad berkenaan. ‘Bebaskan Palestin’.
Berkonsepkan 'guna dan derma', kad yang diberi nama ‘Bebaskan Palestin’ itu dijual RM30 untuk kegunaan sebulan bagi membolehkan pembeli mendapat RM3 untuk disumbangkan kepada tabung amal Palestin tanpa menolak nilai kredit yang diberikan.
Ia boleh didapati di syarikat produksi milik Afdlin iaitu Vision Works Sdn Bhd dan Aqsa Syarif yang mempunyai lebih daripada 14 cawangan di seluruh Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment