Uqasha Senrose
Uqasha Senrose
David Teo
David Teo
BIARPUN tindakan artis barunya, Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen atau Uqasha ibarat menconteng arang ke muka, Ketua Pegawai Eksekutif MIG Talent, Mejar David Teo masih memberi muka dan peluang kedua buat Uqasha.
Ujar David, setiap artis yang bernaung di bawah syarikatnya ibarat anak-anak kecil dan dia sebagai seorang ayah perlu memberi bimbingan agar mereka tidak terkeluar dari landasan yang sepatutnya.
Katanya, dia menganggap segala kenyataan yang dikeluarkan Uqasha, baru-baru ini sebagai kenyataan tidak matang dan berharap agar Uqasha sedar secepat mungkin.

"Kita bukannya halang dia untuk bercinta. Cuma dia masih baru, belum setahun pun bersama MIG dan kita pula mahu membentuk dia menjadi artis yang terkenal dan popular.
"Jadi, berilah tumpuan terlebih dahulu terhadap kerjaya. Selepas itu jika mahu berkahwin pun saya tidak kisah.
"Biarpun saya kecewa dengan beberapa kenyataan yang dikeluarkan, saya masih berharap dia cepat sedar kerana rugi jika bakat yang ada dipersia-siakan begitu sahaja kerana buta dalam percintaan," katanya kepada Zass.
David berkata, ketika awal-awal gambar Uqasha berpegangan tangan dengan kekasihnya, Pekin Ibrahim dimuat naik di laman Instagram, dia sudah memberi teguran supaya membuang gambar tersebut.

Bagaimanapun, Uqasha tidak mendengar nasihat itu dan apabila gambar tersebut sampai ke pihak media, Uqasha menyalahkan pihak pengurusan pula kerana tidak mempertahankannya.
"Saya hanya tersenyum apabila Uqasha menghubungi salah seorang pegawai saya dan mempertikaikan kenapa tidak mempertahankannya daripada terus menjadi buruan media.

"Biarpun dia nampak matang, tapi dia sebenarnya masih keanak-anakan. Kita sudah beri peringatan, bila pihak media mula menyiarkan dan dia sentiasa diburu, kita balik yang dipersalahkan," jelasnya.

Bakal berdepan tindakan

Menurut David, jika Uqasha masih terus berdegil dan melanggar syarat yang termaktub di dalam kontrak, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya Uqasha melebihi tahap kesabaran yang ada.

"Rakan seangkatan sudah memberi nasihat, pengarah sudah memberi nasihat, pegawai MIG sudah memberi nasihat, jika dia masih degil, tunggu sahaja surat undang-undang," ujarnya.
David berkata, Uqasha sepatutnya perlu bersikap lebih profesional dan tidak sewenang-wenangnya untuk jatuh cinta dengan hero lakonannya.

"Mereka baru pertama kali digandingkan, jika dia artis yang profesional, perasaan ketika penggambaran tidak akan terbawa-bawa hingga ke luar," tegasnya.