Tuesday, April 2, 2013

'Harga' Izzue Islam Belum Naik Walaupun Menang FFM25

Jadual Izzue padat sehingga penghujung Julai dengan pelbagai projek drama dan filem.
PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Izzue Islam tidak pernah menaikkan bayaran kepada mana-mana syarikat produksi yang ingin mengambilnya berlakon selepas dia dipilih sebagai Pelakon Harapan Lelaki, Festival Filem Malaysia 25 (FFM 25) pda 2 Mac lalu.
Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 23, berkata, dia sangat terbuka mengenai perkara itu dan menyerahkan soal bayaran kepada pihak produksi mengikut bajet mereka.
"Memenangi anugerah adalah satu pencapaian tetapi harus saya akui pembabitan saya masih baru dalam industri lakonan dan masih banyak perkara yang perlu dipelajari.
"Saya tidak meletakkan sebarang harga tertentu selepas memenangi anugerah di FFM dan membiarkan pihak produksi membuat sebut harga mengikut bajet mereka dan setakat ini saya berpuas hati dengan bayaran yang diberikan," jelasnya ketika dihubungi mStar Online.
Dalam pada itu, Izzue mengakui kerjaya lakonannya semakin meningkat dari segi tawaran berlakon untuk filem dan drama sejak memenangi anugerah berkenaan menerusi filem 29 Februari.
Jelas Izzue, sehingga penghujung bulan Julai depan jadualnya sudah penuh dengan pelbagai projek dan bersyukur dengan rezeki yang diperolehnya.
"Syukur tahun ini rezeki cukup murah dan sebagai pelakon baru saya mengambil peluang yang diberikan untuk terus memperbaiki diri dan mendalami selok-belok dunia lakonan," katanya.
Sementara itu, Izzue memberitahu komitmennya dengan kumpulan Forteen masih berjalan seperti biasa dan tidak pernah berhasrat untuk meninggalkan kumpulan tersebut.
Izzue dinobatkan sebagai Pelakon Harapan Lelaki di Festival Filem Malaysia Ke 25 (FFM 25) menerusi lakonan mantapnya dalam filem 29 Februari.
Malah kata Izzue, ahli kumpulan lain sentiasa menyokongnya dan tidak pernah wujud sebarang masalah di antara mereka ekoran dia lebih menonjol sebagai pelakon.
"Kami sentiasa menyokong di antara satu sama lain cuma ada segelintir pihak yang sering mengatakan kami mempunyai masalah dan aktiviti nyanyian akan berjalan seperti biasa bersama Forteen walaupun saya sibuk sebagai pelakon," ujarnya.
Tambah Izzue, Forteen bakal melancarkan single terbaharu mereka berjudul Kita dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan lain, Izzue sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri adaptasi daripada sebuah novel berjudul Sebenarnya Saya Isteri Dia untuk siaran TV3.
Manakala drama Bunga Merah Punya yang diarahkan oleh Zul Huzaimy lakonannya sedang disiarkan menerusi slot Aurora pada setiap Khamis, pukul 8.30 malam di TV9.
Selain Izzue, drama bersiri 13 episod turut menampilkan Sharifah Sakinah, Sura Sojangi, Syazwan Zulkifli, Nasir Bilal Khan dan Hasnul Rahmat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: