Bangkai tapir dilapah
Penduduk sekitar melihat bangkai tapir yang dilapah pihak tidak bertanggungjawab.
JERANTUT - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab melapah tapir mati di Kampung Ulu Cheka, dekat sini.

Pengarahnya, Khairiah Mohd Shariff berkata, Perhilitan sedang menjalankan siasatan bagi mengesan pihak terbabit yang telah melapah tapir berkenaan yang dipercayai mati dilanggar sebuah motosikal EX5 kira-kira jam 3 pagi .

Menurutnya, tapir haiwan hampir pupus yang dilindungi dan masyarakat bertanggungjawab melindunginya untuk tatapan generasi masa depan.

"Kami kini menjejaki mereka dan siasatan dijalankan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 Akta 716.

“Mereka yang didapati bersalah akan dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang menemui haiwan dilindungi sepenuhnya dilarang mengambil atau menyimpan mana-mana bahagian tanpa permit sebaliknya perlu menghubungi Perhilitan berdekatan untuk tindakan lanjut.

“Saya menggesa orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai perkara ini menghubungi pejabat Perhilitan berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kerjasama orang ramai sangat diperlukan dalam usaha memastikan binatang yang dilindungi terus hidup dalam habitat asalnya,” katanya.