Gajah denak bantu Perhilitan
Anggota Perhilitan mengawasi gajah denak yang dibawa masuk.
Gajah denak bantu Perhilitan
Puluhan penduduk kampung memenuhi pekarangan jalan untuk melihat gajah denak.
RAMBONG - Dua ekor gajah denak dibawa masuk bagi membantu mengeluarkan seekor gajah liar yang berjaya ditangkap pasukan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) di Kampung Rambong Batu Tujuh, Selasa lalu.

Gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang itu tiba kira-kira jam 5 petang, kelmarin, dan disambut oleh puluhan penduduk kampung.

Pegawai Perhilitan Baling, Zainol Abidin Salleh berkata, gajah denak ini amat membantu bagi mengelakkan gajah liar bertindak agresif semasa operasi perpindahan.

Menurutnya, gajah liar itu dijangka dikeluarkan pada hari ini ataupun lusa bergantung kepada keadaan.

“Insya-Allah, kita akan teruskan operasi bagi memastikan penduduk bebas dari rasa takut akibat ancaman gajah ini,” katanya ke-tika ditemui di kampung itu, kelmarin.

Ditanya ke manakah gajah liar itu akan dihantar, Zainol berkata, ia bergantung kepada pihak atasan mengenai perpindahan gajah itu.

Namun begitu, katanya, kebiasaan gajah yang liar yang ditangkap akan dihantar ke Pusat Perlindungan Gajah, Sungai Ketiar, Terengganu.

“Pihaknya sudah melakukan intipan sejak sebulan lalu, bagi mengesan kedudukan gajah liar yang sering merosakkan tanaman malah, merisaukan penduduk.
“Gajah liar itu berjaya ditumbangkan selepas ditembak menggunakan ubat pelali oleh anggota Perhilitan. Gajah berkenaan antara salah seekor dari kumpulan gajah yang sering menceroboh masuk di kawasan kampung ini.
“Disebabkan itu, kita akan terus membuat pemantauan bagi menjaga keselamatan penduduk kampung,” katanya.