Monday, April 1, 2013

Hero 'jambu' bukan isu - Nazim


NAZIM tidak kisah berbelanja sehingga ribuan ringgit untuk sentiasa berpenampilan menarik.


PELAKON yang mendapat jolokan ‘lelaki metroseksual’, Nazim Othman, mengakui dia bukan sahaja cerewet dalam pemilihan watak, tetapi juga terlalu mementingkan imejnya dalam setiap karakter yang dilakonkannya.
Menurut Nazim atau nama sebenarnya, Nushrul Alif Othman, disebabkan itulah dia sanggup berhabis sehingga ribuan ringgit untuk mengubah bukan sahaja gaya rambutnya, tetapi pakaian yang akan dipakai dalam setiap karakter yang bakal dipersembahkan kepada khalayak.
Tidak bergantung kepada pakaian yang disediakan syarikat produksi, Nazim juga mengakui dia tidak kisah dengan pandangan masyarakat terhadap dirinya.
Ini kerana dia sememangnya seorang yang sangat menjaga penampilan.
Selain begitu cerewet dalam setiap penampilannya di kaca televisyen. Nazim mengakui dia tidak berminat untuk melakonkan aksi lasak dalam masa terdekat ini selain memberi kenyataan balasnya kepada aktres Rita Rudaini mengenai pelakon lelaki wajah ‘jambu’ (kurang maskulin) yang sering menghiasi kaca TV pada masa kini.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Nazim selanjutnya
Kosmo!: Kenapakah anda terlalu mementingkan penampilan?
NAZIM: Sebagai individu biasa, saya juga perlu menjaga penampilan. Inikan pula pelakon yang menjadi perhatian orang ramai.
Buat masa kini wajah anda seringkali menghiasi kaca TV. Tidak risau penonton muak?
Alhamdulillah, kerana penerbit mempercayai dan mengambil saya berlakon. Saya tidak risau mengenai perkara itu (penonton muak) kerana setiap karakter dan jalan cerita yang dilakonkan saya adalah berbeza.
Bagaimanakah anda membezakan setiap karakter yang dilakonkan?
Sebagai pelakon, bukan sahaja watak utama, jika mendapat watak kecil juga kita perlu suntikkan sesuatu kelainan. Biar penonton nampak dan ingat watak yang kita dilakonkan.
Baru-baru ini, pelakon Rita Rudaini ada mengeluarkan kenyataan bahawa hero-hero (pelakon lelaki) sekarang banyak yang berwajah ‘jambu’. Tidak seperti hero-hero dulu yang berwajah maskulin. Komen anda?
Itu hanya pendapat peribadi dia. Kita kena ambil pendapat majoriti. Kena juga berpijak pada realiti, mungkin penonton sekarang suka pada wajah-wajah ‘jambu’. Saya rasa perkara begini tak perlu menjadi satu isu.
Boleh ceritakan perkembangan terbaharu anda?
Sekarang saya sedang menjalani penggambaran drama slot Samarinda berjudul Epilog Cinta Khirana bersama Tasha Shilla, Aliff Aziz dan Raja Ema.
Anda sering menjayakan watak cinta, tidak mahukah watak yang lebih berat?
Saya sudah banyak kali terima tawaran berlakon dalam cerita aksi, tetapi saya tolak kerana tahu kemampuan diri. Sehingga bulan Jun ini saya memang sibuk dengan penggambaran, mungkin bulan Julai nanti saya akan masuk kelas seni bela diri untuk menjayakan adegan aksi pula.
Seringkali berlakon drama tidak teringin berlakon filem pula?
Sejak tahun 2011, saya ada menerima tawaran berlakon filem, tetapi karakter yang diberi tidak menepati selera saya. Saya lebih selesa berlakon drama. Saya sangat cerewet dalam pemilihan watak dan juga sangat menitikberatkan mengenai watak yang akan saya jayakan. Saya juga lebih mementingkan kualiti berbanding kuantiti.
Bagaimanakah percintaan anda dengan pelakon Bella Dally. Ada perancangan untuk bertunang atau berkahwin?
Saya dan dia sudah bercinta selama dua tahun. Kalau boleh saya tidak mahu bercerita sangat mengenai hubungan kami sebab takut cerita peribadi mengatasi karier lakonan kami. Sudah banyak kali media minta untuk gandingkan kami berdua tetapi kalau boleh kami mahu mengelak untuk bergambar bersama. Insya-Allah, kalau ada jodoh kami akan berkahwin tetapi buat masa ini tiada sasaran ke arah itu lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: