Tuesday, April 2, 2013
Aceh mahu bendera baharu
BANDA ACEH, Indonesia - Beribu-ribu penduduk Aceh berarak semalam bagi menuntut supaya bendera kumpulan pejuang pemisah dijadikan bendera rasmi wilayah itu, kata polis.
Jurucakap polis tempatan, Kolonel Gustav Leo berkata, kira-kira 3,000 orang menyertai tunjuk perasaan yang bermula di Masjid Baiturrahman di bandar ini sebelum mereka berarak ke bangunan Dewan Perwakilan Rakyat.
Para penunjuk perasaan itu mengibarkan bendera kumpulan pejuang pemisah tersebut yang berwarna merah.
Mereka turut mengarak sebuah bendera gergasi kumpulan berkenaan.
Pada minggu lalu, Majlis Perundangan Aceh telah meluluskan undang-undang kecil mengenai penggunaan bendera tersebut yang sebelum ini merupakan simbol Gerakan Kebebasan Aceh.
"Bendera ini kebanggaan kami, kami tidak boleh menunggu lagi untuk menyaksikan ia berkibar di bumi kami," kata penganjur perhimpunan tersebut yang hanya dikenali sebagai Indra.
Undang-undang Indonesia melarang penggunaan bendera dan simbol fahaman kumpulan pemisah.
Aceh yang merupakan sebuah negara yang diduduki empat juta penduduk pernah dilanda peperangan dengan tentera Indonesia sejak tahun 1976.
Lebih 15,000 orang telah mati dalam peperangan itu sebelum perjanjian damai dimeterai antara pemerintah Indonesia dengan kumpulan Gerakan Aceh Merdeka pada tahun 2005.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: