|
| Yana |
SENYUM dari bibir mulut gadis jelita ini seolah-olah menggambarkan sambutan hari raya Aidilfitri kali ini mempunyai keistimewaan yang luar biasa baginya.
Ini kerana pelakon yang dikenali dengan watak gadis riang digelar Wawa yang pernah muncul dalam filem komedi Adnan Sempit ini telah berpindah ke rumah baru pada hari raya kali ini.
“Alhamdulillah, hasil titik peluh Yana selama ini, Yana telah berjaya membeli rumah sendiri. Ini adalah hadiah yang paling bermakna dari Yana untuk keluarga bagi menyambut lebaran kali ini.
“Memang niat Yana untuk memiliki rumah sendiri sejak mula terbabit dalam bidang seni ini, rezeki Yana bertambah dan Yana sudah mampu untuk membeli rumah sendiri,” ujar pemilik nama penuh Norliana Samsudin ini.
Tambahnya lagi, selain menyambut lebaran kali ini di rumah baru, dia juga turut menyambut kelahiran dua anak saudara barunya.
“Ini adalah satu bonus bagi Yana, kini ahli keluarga Yana semakin bertambah. Sebelum puasa hari tu Yana telah dapat seorang anak saudara dan pada Syawal ini juga, Yana akan mendapat lagi seorang ahli baru keluarga Yana,” ujarnya.
Fokus bidang lakonan
Sebelum ini, Yana juga pernah mengarahkan filem yang Selamat Pagi Cinta namun sambutan bagi filem tersebut kurang memberangsangkan.
Ditanya adakah keinginannya selepas ini untuk mengarah filem, katanya, biarlah ketika diberi tumpuan dalam bidang lakonan sahaja.
“Yana bukan takut untuk mengarahkan filem lagi, namun kekangan masa serta jadual penggambaran yang amat padat ketika ini membantutkan Yana untuk terus mengarahkan filem.
“Lagipun jika dibandingkan, bidang lakonan lebih memberi Yana rezeki, biarlah Yana fokus dalam bidang lakonan buat masa ini. Jika diberi peluang Yana tidak akan menolak untuk mengarah kembali,” tambahnya.
Sebelum ini juga, Yana telah mempunyai albumnya tersendiri yang dikenali sebagai Yana Ceria pada tahun 2004, namun jualan album tersebut juga tidak seperti yang diinginkan.
“Ketika ini, Yana juga ada menyanyi dalam tiga lagu dalam filem baru lakonan bersama Shahizey Sam dan Kamal Adli, Aku Ada Kau Ada.
“Memang Yana akui ada permintaan dari peminat yang menyuruh Yana teruskan bidang nyanyian, namun bagi Yana semua itu biarlah masa yang menentukan, lagipun buat masa ini Yana belum sedia,” ujarnya sambil tersenyum.
Teringat zaman belajar
Yana, seorang siswazah dari Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini mengakui teringat kenangan menyambut bulan puasa dan hari raya bersama rakan-rakan ketika belajar dulu.
"Masa belajar dulu adalah saat yang paling menggembirakan, Yana memang rindu zaman dulu. Seingat Yana, pada semester dua dan tiga, Yana akan bangun awal masa sahur dan masak bersama rakan-rakan, kalau tidak sempat masak kami akan keluar makan di warung beramai-ramai.
"Yang paling tak dapat dilupakan adalah ketika kami menjalankan projek subjek, kami pelajar dalam bidang filem akan hasilkan beberapa filem pendek, jadi masa proses penggambaran yang dilakukan pada musim puasa memang satu cabaran bagi kami, demi kejayaan Yana teruskan juga walaupun begitu penat," tambahnya.
Tambah Yana lagi, dia sebenarnya memang menyukai bidang masakan, jika ada masa terluang dia akan mencuba beberapa resipi yang baru dipelajarinya.
"Nak kata pandai sangat tidaklah, tapi ada la beberapa resipi Yana boleh sediakan antaranya asam pedas, kari ayam sambal udang dan ayam masak halia.
"Selain itu juga, Yana turut menulis skrip filem, alhamdulillah skrip pertama Yana tulis telah difilemkan iaitu Bini-biniku Gangster yang akan ditayangkan tidak lama lagi," jelasnya.
Ditanya mengenai insan istimewa dalam hidup pelakon ini, dengan tenang jawabnya masih belum ada yang betul-
betul istimewa baginya buat masa ini.
"Memang Yana akui yang Yana ada rapat dengan lelaki, namun yang istimewa masih belum ada lagi, Yana perlu berkawan dengan lelaki kerana mereka banyak membantu Yana dan tempat meluahkan masalah.
"Ketika ini memang ada orang yang nak rapat dengan Yana, namun biarlah Yana menilai terlebih dahulu, belum masanya untuk fikir perkara ini.
Tambahnya lagi, lelaki pilihannya bukanlah kalangan artis mahupun golongan berada, tetapi dia lebih memilih golongan biasa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: