Saturday, September 3, 2011

Wajar cuci tiga bulan sekali


Zulkarnain Mohd. Saidin, Abdul Nazir Mohamed, Mohd. Riduan Rizal Ahmad ANITA (kanan) menerima tempahan cucian karpet daripada pelanggan setiap hari.


SEMPENA sambutan Aidilfitri, selain halaman dan dalaman rumah serta perabot, proses pembersihan permaidani juga wajar dititikberatkan. Langkah itu bertujuan menyerikan semula permukaan karpet yang kusam dek kotoran dan menyegarkan kembali helaian bulu-bulu karpet yang telah menguncup.

Perkara itu diakui sendiri oleh Pengarah Urusan Desa Ringgit Sdn. Bhd., Anita Hanim Ahamaddi Hazali, 30, yang menawarkan khidmat cucian karpet kediaman, premis dan bangunan pejabat.

Syarikat yang telah beroperasi selama enam tahun itu ditunjangi oleh belia bumiputera yang bertanggungjawab membersihkan pelbagai jenis dan saiz karpet tanpa mengira jenama serta kualiti karpet.

“Kami mencuci semua jenis karpet tidak kira jenis atau jenama. Kadangkala karpet yang tidak berjenama itu boleh tampak cantik dan terang sama seperti karpet mahal. Asalkan ia dicuci dengan teknik cucian dan menggunakan bahan cucian yang betul.

“Di Desa Ringgit, kami mempraktikkan cucian deep clean atau cucian dalaman yang mencuci fabrik karpet dari permukaan hingga ke dasar karpet.

“Bagi mendapatkan hasil cucian yang terbaik, sekeping karpet akan melalui beberapa fasa cucian yang menggunakan alat dan bahan cucian terpilih,” terang wanita yang mesra disapa Anita ini. Beliau memberitahu, setiap hari pusat itu mampu membersihkan 30 keping karpet.

Jelasnya, selepas mengenal pasti kotoran, jenis dan kualiti karpet pelanggan, karpet tersebut akan dihantar ke pusat cucian di Senawang, Negeri Sembilan. Di sana petugas mula melakukan proses-proses pembersihan.

Pertama, bahagian permukaan dan belakang karpet akan dibersihkan menggunakan vakum yang diimport khas dari Perancis. Selesai proses berkenaan petugas akan memeriksa permukaan karpet dan mencari bahagian yang terlekat kotoran degil.

“Kami akan meletakkan bahan cucian di atas kotoran dan memberusnya dengan lembut sehingga kotoran hilang. Kemudian, barulah karpet dibersihkan menggunakan mesin brush up yang mencuci setiap helaian bulu karpet dari atas hingga ke dasar.

“Seterusnya, karpet akan disembur dengan wangian dan dijemur di atas lantai batu sehingga ia kering. Meletakkan karpet di atas lantai batu mampu mempercepatkan proses mengering,” kata Anita yang dibantu seramai 120 staf operasi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: