|
BAGI Nurul Haniz Jennifer, 36, bersantai di ruang tamu rumahnya yang berkonsepkan gaya kontemporari Eropah sememangnya merupakan rutin harian yang cukup menyenangkan.
Lazimnya, usai menguruskan perihal anak-anak dan rumah tangga, wanita yang mesra disapa Nurul itu gemar menghabiskan masa di ruang tamu yang indah dengan set sofa, meja kopi dan televisyen digital paparan cecair kristal (LCD).
“Selain menonton televisyen dan melayari internet, saya juga gemar membaca koleksi majalah di sini. Lagipun, suasana di ruang tamu bukan saja tenang malah menyegarkan memandangkan ia terletak berhampiran pintu gelangsar.
“Sebab itu, saban hari saya memastikan persekitaran ruang tamu sentiasa tersusun rapi dan berada dalam keadaan bersih termasuklah karpet.
“Ini bagi mengelakkan hama dan debu yang boleh menyebabkan kegatalan dan rengsa pada bahagian kaki,” tutur Nurul sambil menunjukkan karpet jenis Shaggy rona coklat gelap dan lembut yang menghiasi ruang tamunya.
Berbicara lanjut, Nurul yang merupakan jurusolek sambilan menyatakan karpet adalah kelengkapan hiasan yang perlu ada dalam kediamannya.
Jelas beliau, hamparan permaidani di beberapa ruang utama seperti ruang tamu, ruang makan dan kamar tidur membantu menyuntik mood ceria.
Atas faktor berkenaan, ibu kepada empat orang cahaya mata itu cenderung menukar warna dan corak karpet setiap kali dia menukar warna cat dinding serta set perabot.
“Kini saya mengetengahkan konsep Eropah moden. Set sofa terdiri daripada warna terang seperti ungu, putih dan merah, manakala kusyen mini pula nuansa coklat gelap, krim, putih dan kelabu.
“Disebabkan dinding rumah dicat skim warna O’keefe Gray dan Jefferson, maka saya memilih karpet warna coklat dan krim yang senada dengan warna dinding.
Menyerikan dekorasi kediaman
“Karpet yang sama turut saya hamparkan di bawah meja makan bagi memberi keselesaan pada tapak kaki. Tidak dinafikan sesetengah individu bimbang untuk memasang karpet di ruang makan kerana tidak mahu butir nasi dan lauk-pauk melekat pada karpet.
“Tetapi, amalan saya selesai menjamu selera, saya akan membersihkan karpet menggunakan vakum,” jelas Nurul yang pernah dihadiahkan permaidani Mesir buatan tangan berharga RM5,000 oleh seorang teman.
Sementara itu, pereka fesyen dan perunding dekorasi kediaman, Rico Rinaldi Tono, 27, menyarankan setiap kediaman sama ada jenis banglo, teres, kondominium ataupun pangsapuri wajar memiliki permaidani yang bersesuaian dengan keluasan ruang.
Tutur Rico, permaidani bukan sekadar bertindak mengelakkan tapak kaki kedinginan tatkala memijak lantai terutamanya lantai marmar dan jubin, malah merupakan salah satu elemen yang melengkapkan dekorasi rumah. Selain ruang tamu, karpet juga menarik diletakkan di ruang menonton televisyen, ruang bacaan dan kamar tidur.
“Rumah tanpa karpet tampak polos dan kurang seri. Namun, itu tidak bermakna untuk menaikkan seri rumah individu perlu membentangkan permaidani yang rona sedondon dengan warna perabot, dinding dan langsir. Impaknya, suasana rumah akan kelihatan pelik.
“Misalnya, jangan sekali-kali memilih karpet merah sekiranya perabot dan langsir juga daripada warna yang sama.
“Saranan saya, idea dekorasi rumah kelihatan lebih menarik apabila warna karpet itu sejajar dan serasi dengan warna dinding,” jelas Rico sambil memberikan beberapa tip pemilihan karpet.
Katanya, bagi ruang tamu yang menempatkan set perabot warna gelap atau suram, permaidani warna terang serta kontra adalah pilihan ideal.
Sementara itu, bilik bersaiz kecil atau sempit pula, elok dihiasi permaidani warna cerah atau putih. Tetapi warna berkenaan tidak bersesuaian bagi keluarga yang memiliki anak kecil kerana karpet akan mudah comot.
“Selain mengambil kira aspek keluasan ruang, konsep dekorasi rumah turut memainkan peranan penting dalam pemilihan karpet.
“Sebagai contoh, gaya hiasan ala Bali atau etnik sesuai dipadankan dengan ambal yang diperbuat daripada rotan atau buluh.
“Jika memilih seni hiasan konsep tradisional Melayu atau Asia Barat, maka permaidani motif kerawang dan flora buatan Mesir, Iran atau Turki merupakan pilihan yang bijak.
“Bagi dekorasi urban, pilih saja karpet jenis Shaggy yang bak bulu kucing dan semakin popular,” tegas Rico yang menasihati orang ramai supaya merancang sebelum membeli karpet untuk kediaman.
|
|
Membantu pelanggan memilih
Dalam pada itu, pembantu jualan karpet Jakel, Ressa Faradika Junaidy, 22, memberitahu, kebiasaannya sebelum pelanggan membeli permaidani yang ditawarkan, petugas gedung karpet Jakel akan mengadakan sesi rundingan ringkas.
“Sesi ini bertujuan untuk mengenal pasti sama ada jenis dan ciri-ciri karpet yang dikehendaki pelanggan bersesuaian dengan ruang kediaman pilihan. Kami tidak mahu pelanggan membeli koleksi karpet yang salah dan bertentangan dengan gaya hiasan rumah.
“Lagipun prinsip kami, pelanggan berhak memiliki seleksi karpet yang bermutu, terbaik dan ideal setimpal dengan wang ringgit yang mereka laburkan.
“Sebab itu, sebelum membeli karpet pelanggan perlu mengukur keluasan ruang, konsep dekorasi dan warna cat dinding,” terang Ressa yang tidak menang tangan melayan pelanggan yang tidak putus-putus mengunjungi gedung karpet Jakel di Jalan Bunus, Kuala Lumpur.
Sempena hari lebaran yang bakal menjelang, Jakel menawarkan promosi jualan karpet secara besar-besaran di semua cawangan Jakel yang beroperasi di setiap negeri.
Jualan satu juta karpet
Seperti tahun lepas, pada tahun ini Jakel turut menyasarkan jualan sebanyak satu juta keping karpet untuk dihamparkan sewaktu meraikan Aidilfitri.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Mohamed Faroz Mohamed Jakel, keistimewaan karpet Jakel bukan saja terletak pada material yang terbaik, malah ia dijual pada harga berpatutan memandangkan Jakel berurusan terus dengan pihak pengilang dari Asia Barat.
“Kami cukup memahami kehendak pelanggan yang sentiasa tercari-cari karpet yang cantik tetapi dijual pada harga mampu dimiliki. Apatah lagi sebelum menyambut detik lebaran bermacam-macam barang yang hendak dibeli.
“Maka, jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi Jakel kerana sebahagian besar karpet kami dijual pada harga yang lebih rendah berbanding gedung karpet yang lain. Bukan itu saja, kami turut menawarkan promosi jualan karpet beli satu percuma satu bagi koleksi karpet yang terpilih.
“Ini termasuklah menyediakan karpet daripada saiz yang paling kecil (1.2 meter x 1.8 meter) sehinggalah ukuran saiz besar (3.6 meter X 4 meter),” kata Faroz sambil menunjukkan rangkaian karpet Jakel yang diimport dari Mesir, Dubai, India dan Pakistan.
Menyentuh mengenai trend permaidani masa kini, Faroz menyatakan karpet Shaggy atau lebih sebagai karpet bulu kucing paling diminati ramai. Tekstur karpet itu yang lembut, berwarna terang dan bercorak abstrak antara faktor ia mendapat permintaan tinggi dalam kalangan warga urban dan golongan muda.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: