Saturday, September 17, 2011

Volkswagen Polo GTI



TIDAK keterlaluan jika dikatakan bahawa Volkswagen (VW) kini benar-benar mahu memastikan kehadirannya di pasaran tempatan disedari oleh semua pengguna kenderaan.

Bermula dengan pilihan model yang terhad, pengedar sah jenama dari Jerman itu Volkswagen Group Malaysia (VGM) semakin agresif untuk menawarkan sebanyak mungkin model yang dilihat sesuai di pasaran Malaysia.

Bukti terbaharu ialah acara Volkswagen Das Auto 2011 yang berlangsung di Bukit Jalil pada 10 dan 11 September lalu. Jika diukur daripada pertunjukannya yang memang kelas dan kesanggupan orang ramai beratur berjam-jam untuk masuk ke dalam dewan, VGM boleh membuat andaian bahawa peminat Volkswagen bukan sedikit.

Anggapan itu juga boleh dikaitkan dengan jumlah kenderaan Volkswagen yang semakin banyak di atas jalan raya. Kalau diikutkan, harganya bukanlah murah. Namun teknologi serta gah jenama VW membuatkan orang sanggup pejam mata membuat bayaran yang tinggi di bank setiap bulan.

Variasi produk yang ditawarkan oleh VGM sekarang agak luas. Mahu SUV mewah, anda boleh beli Touareg. Jika ia terlalu besar, beli sahaja SUV kompaknya Tiguan. Bagi mereka yang sukakan hot hatch, pasti model Golf menjadi idaman. Tidak kiralah sama ada GTI atau TSI, kedua-duanya mampu memberi kepuasan ketika melayan selekoh di mana-mana sahaja.

Bagi mereka yang gemar menghirup udara segar ketika memandu (tidak dicadangkan sewaktu jerebu ini), model EOS mungkin paling sesuai. Tidak dilupakan pastinya model comel VW, apa lagi kalau bukan Beetle dan Polo.

Minggu ini, berikan tumpuan anda kepada Polo. Harus tahu bahawa model mini itu merupakan antara model penting buat VW. Mula dihasilkan pada tahun 1975, Polo kini sudah memasuki generasi kelima bersama portfolio membanggakan. Terbaru, jentera subkompak itu dinobatkan sebagai Kereta Dunia 2010 dan Japanese Import Car of the Year 2010.

Di Malaysia yang terkenal dengan harga keretanya yang mahal, Polo dengan unit enjin 1.2 TSI dijual pada harga hampir RM110,000 seunit. Sekali fikir memang tidak masuk akal untuk sebuah kereta yang bersaiz seperti Perodua Viva atau Proton Savvy. Namun, harga premium itu tidak menghalang lebih 750 unit Polo TSI berjaya dijual pada tahun ini sahaja.


JENTERA berkuasa tinggi yang menjadi idaman ramai.


Mahu memeriahkan lagi tawaran sedia ada, VGM tampil dengan varian Polo lebih berkuasa, Polo GTI. Pengenalannya dibuat sempena pelumbaan Scirocco R-Cup yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada penghujung bulan puasa lalu.

Untuk makluman, model berprestasi tinggi atas nama Polo mula diperkenalkan dalam bentuk G40 Coupé dengan enjin supercharged berkuasa 113PS pada tahun 1986. Formula Polo GTI tidak pernah berubah. Ia merupakan sebuah kereta kecil dan ringan yang disumbat dengan enjin berkuasa tinggi, tanpa berkompromi dengan kualiti pengendaliannya.

Dalam kes Polo GTI terbaharu ini, ia dipasang dengan enjin twincharge (supercharge dan turbocharge) bersesaran 1.4 liter TSI. Kuasanya? Mampu mencecah 180PS pada putaran enjin 6,200rpm!

Sementara tork puncaknya iaitu 250Nm boleh dicapai pada 2,000 hingga 4,500rpm. Maka tidak hairanlah ia mampu memecut dari titik pegun ke kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh cuma 6.9 saat dengan kelajuan maksimum 229 km/j.

Walaupun janaan kuasanya 30PS lebih berbanding enjin 1.8 liter yang ada pada model sebelumnya, penggunaan minyak adalah lebih menjimatkan. VW mendakwa Polo GTI berupaya mencatat penggunaan 5.9 liter bagi setiap 100 kilometer, iaitu penjimatan sebanyak 24 peratus.

Sama seperti model-model terbaharu VW yang lain, enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear DSG (Direct Shift Gearbox) tujuh kelajuan. Gear berkembar jenis kering itu dipadankan bersama sistem XDS electronic transverse differential lock yang hadir sebagai satu ciri standard.

Dari segi penampilan, Polo GTI mudah dikenal pasti menerusi lencana GTI yang dilekatkan pada gril hadapan yang berbentuk sarang lebah itu. Pada bahagian belakang, tiga huruf tersebut diletak berhampiran lambu sebelah kirinya.

Bagi menunjukkan ia berprestasi tinggi, anda akan dapat lihat angkup breknya yang dicat merah di sebalik rim aloi gaya 'Detroit' bersaiz 17 inci itu. Lampu utamanya pula dihias dengan butiran LED yang bertindak selaku Day Running Lights (DRL).


ENJIN 1.4 TSI yang telah ditala dan mampu menjana kuasa sehingga 180PS.


Pada ruang kabin, pemandu boleh menjangkakan reka letak papan pemuka kenderaan VW yang ringkas dan kemas. Bahagian tengahnya diisi oleh sistem audio yang mudah dioperasi dan menggunakan lampu merah sebagai latarnya.

Sterengnya rata pada bahagian bawah. Selain dibalut kulit bersama jahitan benang merah, anda juga boleh mengawal sistem audio menerusi butang-butang kecil yang ada di sana. Ingin mengekalkan tradisi sebuah GTI, tempat duduknya dibalut dengan fabrik bercorak kotak-kotak yang dipanggil Tartan.

Bagaimana dengan prestasinya? Saya antara yang bertuah kerana berpeluang memandu uji Polo GTI di litar SIC. Biarpun cuma empat pusingan, ia sudah menjadi satu pengalaman yang memuaskan.

Polo GTI seperti tidak sabar-sabar untuk meluru sebaik sahaja pedal minyaknya ditekan. Pertukaran gear DSG juga sangat cepat dan lancar. kalau mahu menentukan sendiri kedudukan gear, guna sahaja paddle shifter yang ada di bahagian belakang stereng.

Beraksi laju di selekoh, prestasi Polo GTI tidak dapat menandingi kestabilan Scirocco yang bertubuh lebih lebar. Tetapi sewaktu memecut di jalan lurus, harapan Scirocco untuk memotong jentera kecil ini memang tipis. Polo GTI pantas menghilangkan diri sebelum kembali ditemui di selekoh seterusnya.

Kestabilan dan kejituan pemanduan jentera itu banyak dibantu oleh sistem-sistem elektronik yang ada padanya. Selain XDS, sistem seperti ABS, EBD, BA, TCS dan ESP memastikan pemandu berada di landasan sebetulnya ketika mengambil selekoh serta memecut.

Pendek kata, Polo GTI bukan untuk mereka yang gemar memandu sambil makan angin di lorong laju. Sebaliknya, ia dibina bagi mereka yang tahu menghayati keseronokan memandu laju dengan selamat.

Di sebalik harganya yang tidak murah itu, VGM tetap optimis dapat menjual Polo GTI dalam kuantiti sepatutnya. Saya tidak fikir itu satu masalah. Orang Malaysia kan kaya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: