GENERAL MOTORS (GM) baru-baru ini mendirikan sebuah kilang pengeluaran enjin diesel yang canggih di Rayong, Thailand. Fasiliti yang bernilai kira-kira RM617 juta itu merupakan pelaburan paling signifikan pernah dibuat di Asia Tenggara.
Bangunan berkeluasan 54,275 meter persegi itu juga menjadi fasiliti pertama buat enjin diesel GM. Selain kilang pertama di dunia yang menghasilkan enjin diesel empat silinder untuk keluarga enjin Duramax. Enjin pengeluaran pertama akan dipasang dalam trak pikap Chevrolet Colorado.
Kilang tersebut berupaya merealisasikan kapasiti pengeluaran kira-kira 120,000 enjin setahun untuk kenderaan yang dikeluarkan di Thailand dan beberapa pasaran antarabangsa lain. Operasi dijangka melibatkan komponen tempatan buatan Thailand bernilai kira-kira RM289 juta menjelang tahun 2012.
Pembukaan kilang berkenaan merupakan antara strategi peluasan operasi GM di kawasan serantau bagi mencapai objektif sebagai pengeluar terkemuka untuk kenderaan berkelas dunia.
Selain itu, GM bakal melabur kira-kira RM461 juta di kilang pengeluarannya di Bekasi, Indonesia. Ia melibatkan talian pengeluaran baru untuk penghasilan jentera bagi pasaran Asia Tenggara.
Hadir pada majlis perasmian kilang di Rayong ialah Presiden Asia Tenggara GM, Martin Apfel, Setiausaha Tetap Menteri Perindustrian Thailand, Dr. Witoon Simachokdee dan Kaunselor Komersial kepada Duta Amerika Syarikat (AS) di Thailand, Michael L. McGee.
Menurut Apfel, kilang enjin itu membolehkan pihaknya menghasilkan enjin diesel yang lebih bersih, efisien dan berprestasi tinggi untuk para pelanggannya. Ia juga membuka peluang pekerjaan kepada 500 orang penduduk tempatan.
"Fasiliti tersebut mengaplikasi peralatan komputer termaju dengan potongan laser untuk menjamin kualiti yang tinggi. Malah proses menukar pengeluaran enjin berkapasiti 2.5 liter dan 2.8-liter dalam talian pengeluaran untuk memenuhi keperluan pasaran juga boleh dibuat dengan cukup mudah," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: