Sunday, September 4, 2011

Terminal bas di KL mulai sesak


WARGA kota tiba dengan bas di Hentian Bas Jalan Duta semalam selepas bercuti raya di kampung masing-masing.


KUALA LUMPUR – Terminal bas utama di ibu negara semalam mula sesak apabila semakin ramai warga kota kembali ke ibu negara selepas menyambut Aidilfitri di kampung.

Rata-rata penumpang memilih untuk pulang awal sebelum mula bekerja esok selain sesi persekolahan disambung semula pada hari yang sama.

Tinjauan mendapati Terminal Bas Bersepadu Bandar Tasik Selatan (TBS), Hentian Duta, Pudu Sentral dan KL Sentral sesak dengan ketibaan penumpang yang dijangka lebih ramai pada sebelah malam.

Penjual tiket, Ismail Hapson berkata, sebanyak 30 buah bas syarikatnya bertolak dari Kluang, Johor memasuki ibu negara sejak semalam hingga Ahad ini.

Di Pudu Sentral, ada warga kota terkilan kerana terpaksa balik dalam keadaan belum puas beraya.

Bagi Mohd. Ikram Samsuddin, 21, yang bekerja sebagai pemandu, walaupun cutinya singkat, dia bersyukur kerana dapat pulang beraya di Segamat, Johor.

“Saya sedar itulah dilema semua orang yang sudah bekerja, lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru bekerja,” katanya.

Perasaan sama turut dirasai pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP), Noridayu Zulkifli, 19, apabila musim perayaan Aidilfitri kali ini dipendekkan memandangkan semester baru akan bermula.

“Apa boleh buat. Memang belum puas lagi beraya di Sabah namun disebabkan semester baru yang akan bermula, saya kena balik awal,” ujarnya.

Pekerja swasta, Azlina Azhar, 26, berkata, cutinya yang masih lagi berbaki akan digunakan sepenuhnya sebelum kembali bertugas.

Selepas menyambut hari raya bersama keluarga di ibu kota, dia mahu meneruskan sambutan raya di rumah saudaranya di Muar, Johor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: