Thursday, September 15, 2011

Temui pengganti

  • Foto

  • Foto

    Gambar kecil kiri, atas, bersama bekas suami, Marc Anthony, bawah, Bradley Cooper.

J.Lo keluar bersama Bradley Cooper selepas berpisah dengan suami, Julai lalu

NAMPAKNYA artis sensasi Jennifer Lopez enggan berduka lara dan bersedih mengenangkan perpisahannya bersama Marc Anthony, apabila dia dilaporkan keluar bersama seorang lagi bintang popular masa kini, Bradley Cooper.
Menurut laman gosip TMZ, juri American Idol dan bintang filem Hangover itu keluar makan malam di sebuah restoran mewah, Per Se, di New York (NY), pada malam Sabtu lalu.
Lopez dan penyanyi Salsa paling hebat di dunia kelahiran NY, Anthony, mengumumkan keputusan mereka untuk berpisah pada 15 Julai lalu selepas tujuh tahun berkongsi hidup sebagai pasangan suami isteri.

"Kami memutuskan untuk menamatkan perkahwinan kami. Ia sebuah keputusan yang sememangnya sangat sukar," kata pasangan itu dalam sebuah kenyataan, yang tidak menyatakan alasan sebenar berlakunya perpisahan pada waktu itu.

Pada Ogos lalu, mula timbul khabar angin mengaitkan Anthony bersama Jada Pinkett-Smith, yang berlakon bersamanya dalam drama perubatan Hawthorne. Bagaimanapun penyanyi berusia 42 tahun itu menafikan dakwaan wujudnya hubungan istimewa antara mereka berdua.

Cooper, yang berpisah dengan aktres Renee Zellwegger pada Mac tahun ini, pula pernah dikaitkan dengan beberapa pelakon wanita lain seperti Olivia Wilde dan Charlize Theron. Maklumlah, sebagai aktor yang mempunyai segala-galanya - kemasyhuran dan rupa yang tampan - siapa yang tidak sudi mendampingi bintang The A-Team ini.
Makan malam yang dihadiri Lopez dan Cooper pada hujung minggu lalu itu pada dasarnya dikatakan berlangsung atas alasan kerja. Kedua-dua bintang besar berkenaan bertemu untuk melihat sama ada wujud keserasian antara mereka, apabila ditawarkan berlakon dalam projek filem komedi cinta.

Bagaimanapun menurut sumber yang boleh dipercayai, memang ketara adanya perasaan saling suka-menyukai antara kedua-dua pelakon tersohor ini.

Sumber itu juga menambah, ia jelas sekali menunjukkan contoh terbaik bagaimana Lopez bijak memastikan dirinya sentiasa berada dalam perhatian media. Malah dia sebenarnya tidak perlu risaukan langsung mengenai perkara itu.

Namun begitu, masih terlalu awal untuk peminat membuat spekulasi berhubung perkara itu kerana pertemuan berkenaan boleh membawa apa saja makna kepada dua bintang terbabit.

Bagi Cooper sendiri, menurut sumber rapat dengan pelakon ini, pada hakikatnya dia gemar mendapat liputan media walaupun mengaku tidak suka kehidupan peribadinya dicerobohi.

“Dia memang pandai dalam permainan ini," kata sumber rapat dengannya itu.
Difahamkan, Lopez dan Cooper sudah pun membuat perancangan untuk bertemu lagi secepat mungkin. Pastinya, langkah mereka berdua akan lebih diperhatikan banyak pihak dalam masa sehari dua ini.

Duet bersama Enrique Iglesias

SELEPAS mencipta kejayaan hebat dari segi populariti hasil kerjasama bersama Pitbull menerusi lagu On The Floor yang dimuatkan dalam album terbaru, Love?, Lopez dilaporkan berduet pula bersama seorang lagi bintang Latin dari Sepanyol, Enrique Iglesias.

Kedua-dua penyanyi terbabit bekerjasama dengan produser DJ Frank E, yang sebelum ini membantu menerbitkan lagu Tonight (I'm Lovin' You) untuk artis lelaki berusia 36 tahun itu.

Ia dimuatkan dalam album bungkusan semula Igesias, Euphoria, yang bakal dipasarkan November ini.

DJ berkenaan mengumumkan perkara itu di laman Twitter rasminya beberapa hari lalu. Katanya: “Lagu baru Enrique dan J.Lo akan datang tidak lama lagi!!"
Apabila peminat kedua-dua bintang itu bertanya, Frank berkata, lagu duet berjudul Mouth2Mouth terbabit ialah karya ciptaan baru dan ia pasti mendapat sambutan hebat di kalangan pendengar.

Selain Iglesias, Frank E turut bekerjasama dengan beberapa nama besar lain termasuk Madonna, Pitbull, Justin Bieber, Chris Brown dan Kanye West.
Lopez pula ketika ini bersiap sedia untuk melancarkan single terbaru berjudul Papi, petikan album terkininya itu, selepas kejayaan On The Floor dan I'm Into You.

Dapat RM60 juta sebagai juri Idol?

SEMENTARA itu, pada pertengahan Ogos lalu, wakil televisyen Fox mengumumkan, Lopez kembali menduduki kerusi juri bagi musim ke-11 rancangan American Idol, bersama-sama Randy Jackson dan vokalis Aerosmith, Steven Tyler.

Dikhabarkan bintang jelita berusia 42 tahun itu menerima bayaran kira-kira RM60 juta untuk kembali bersama program realiti nyanyian paling popular di dunia itu. Jika benar jumlah yang dikhabarkan itu, maka ia bermakna pelakon Out of Sight terbabit menerima kira-kira RM24 juta lebih banyak daripada gaji yang dipungut olehnya pada musim terdahulu.

Program realiti terbabit dijadualkan tayangan musim barunya bermula 22 Januari tahun depan.

Pencipta rancangan pertandingan berkenaan, Simon Fuller, dalam kenyataannya berkata, kepulangan Lopez dan Tyler ke dalam American Idol, bersama-sama Jackson mencerminkan betapa musim lalu mencatat kejayaan begitu hebat, yang membuatkan semua orang berasa seronok.

Idol membuat perubahan pada barisan jurinya pada tahun lalu dan hasilnya, ia mendapat sokongan peminat baru. Lopez bagaimanapun sebelum ini dilaporkan belum pasti mengenai kedudukannya dalam rancangan berkenaan biarpun ia mencatat kejayaan cukup baik pada musim ke-10.

Musim lalu juga sebenarnya banyak membantu menaikkan kembali nama Lopez dalam industri seni, apabila dirinya mula menjunam dari segi populariti sejak melahirkan anak kembar, Max and Emme, pada 2008. Tahun ini, Lopez bukan hanya meledak bersama On The Floor yang ditonton kira-kira 375 juta kali di YouTube, malah dia turut diumumkan sebagai wanita tercantik di dunia oleh majalah People.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: