Thursday, September 15, 2011

Filem kita kosong, sekadar hiburan

Kamal (tengah) dan Indera (dua dari kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta.
Kamal (tengah) dan Indera (dua dari kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta.
Tiada pengisian, kurang kualiti apabila produser fielm melihat keuntungan jadi keutamaan

MEMILIKI barisan pelakon hebat belum cukup kuat untuk meletakkan sesebuah filem itu terbaik tanpa skrip yang kuat dengan pengisian dan mampu menambat hati penonton.
Itulah pandangan daripada pengarah dan penulis skrip, Kamal Ishak yang menganggap lambakan filem tempatan kini juga masih belum menemui sebuah karya yang bukan saja terbaik dari segi jalan ceritanya tetapi juga dari segi mencerminkan wajah filem tempatan.
“Kebanyakan filem sekarang tidak ada pengisian cuma untuk menghiburkan penonton dan meraih keuntungan. Kalau kita tengok filem dulu bukan saja penuh pengisian tetapi juga mempunyai jalan cerita yang menarik serta mencerminkan wajah kita,” jelasnya.

Bukan salah penulis skrip sebaliknya kehendak penerbit filem yang perlu dituruti. Mengakui banyak jalan cerita yang kabur dan tergantung kerana tidak mengetahui format sesebuah skrip menyebabkan karya yang dihasilkan menjadi kurang berkesan atau tiada pengisian.

“Paling asas sekali skrip mesti ada struktur dan asas three act play iaitu pembukaan, pertengahan dan pengakhiran cerita tetapi bila skrip itu diubah menyebabkan jalan cerita asalnya sudah lari dari landasannya.

“Ramai penerbit tidak tahu skrip sebenarnya, jadi ikut kesesuaian mereka saja, janji filem itu dapat untung. Penerbit kena memahami kenapa babak ini perlu ada dan itu tidak perlu,” katanya.
Ditemui selepas memberikan tunjuk ajar asas mengenai penulisan skrip kepada tiga peserta dalam program khas kendaliannya, Kamal berkata, sesebuah cerita perlu dekat dengan rakyat dan mempunyai imej yang banyak diketengahkan oleh filem asing seperti Indonesia. Bersamanya ialah pengarah fotografi, Indera Che Muda.

“Kita lihat filem Indonesia, banyak mengenengahkan budaya mereka itu yang dikatakan imej tetapi filem kita tak ada, kerana banyak menyuntik budaya luar ke dalam filem tempatan.

“Lihat saja filem Home Alone, dari segi gambaran jalan cerita itu kita sudah faham itu filem berkisar tentang perayaan Krismas tetapi di mana filem yang menggambarkan perayaan Aidilfitri? Kecuali ada lagu raya dan kuih raya saja,” tegasnya lagi.

Kamal turut menyelar sikap penonton yang malas berfikir dan hanya mahukan hiburan semata-mata menyebabkan filem tempatan sudah lari dari landasan budayanya tersendiri.

“Kalau dulu P Ramlee buat filem bukan saja ada pengisian dan jenaka tetapi membuat kita terfikir kenapa sesuatu babak itu diwujudkan tetapi kini kita buat filem tak nak bagi penonton berfikir kerana menganggap penonton akan bosan.

“Tetapi kenapa filem barat yang penuh dengan aksi dan jalan cerita yang memerlukan penonton berfikir dapat diterima? Filem kita kosong hanya ada pelakon yang hebat dan hiburan semata-mata,” jelasnya.

Mengenai program yang dinamakan Tiusyen Skrip, Kamal berkata, walaupun hanya tiga hari, namun tiga peserta yang mengikuti kelasnya itu dapat mendekati dan memahami dengan lebih dalam lagi asas dan format penulisan skrip dengan betul.

“Saya buka kelas macam ini sudah lebih tujuh tahun. Vanida Imran, Erra Fazira dan Sofea Jane antara yang pernah mengikuti kelas saya sebelum ini,” jelasnya.

Bagi penulis cerpen, Mohd Fazil Ismail, pembabitannya selama 10 tahun dalam bidang penulisan cerpen belum cukup kuat untuk melayakkan dirinya dalam penulisan skrip.

“Saya minat tulis skrip sebab cerpen orang tak suka baca sangat. Jadi kesempatan yang diberi Kamal memberi untuk mempelajari asas dan teknik penulisan skrip dengan betul,” katanya.

Guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Raja Zarina, Pelabuhan Klang, Hafizah Mohamed pula menjelaskan minatnya terhadap penulisan skrip sudah terbuku sejak menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) lagi.

Malah, skrip pertamanya, Mengapun Sirna diterbitkan pada tahun 1995 membuatkan hatinya ingin terus berkarya dalam bidang penulisan.

“Selepas telefilem itu diterbitkan saya sudah tidak aktif dalam penulisan skrip sebab menumpukan kepada keluarga dan mengajar. Bidang penulisan skrip tidak susah kalau ada minat dan dengan cara ini menguji ketajaman minda kita,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: