CANTIK...tampil sederhana bekas kuih raya berhias reben, sesuai dibawa ketika menghadiri rumah terbuka.
MENGHADIRI rumah terbuka atau kunjungan ke rumah saudara-mara akan lebih bererti sekiranya anda membawa buah tangan bersama.
Antara yang boleh disediakan ialah kuih raya, rendang atau ketupat yang dimasukkan di dalam bekas untuk diberikan kepada tuan rumah. Juadah ini biasanya dibalas dengan kiriman yang sama sebagai tanda terima kasih atas kehadiran yang sangat bererti.
Supaya cenderahati tampil menawan anda boleh menghias ringkas dengan meletakkan reben atau sekuntum bunga di atasnya.
Menurut Amilita Zaini yang berpengalaman menjalankan perniagaan penghantaran cenderahati sejak tujuh tahun lalu, untuk hari raya pemberian kuih raya yang dihias indah akan menjadi kenangan berharga kepada penerima. Apatah lagi sekiranya cenderahati itu dihias sendiri.
“Untuk cenderahati raya, biasanya saya meletakkan dua jenis biskut di dalam kotak bersama makanan tradisi seperti dodol. Bagi menyerikan hiasan, reben diikat pada kotak bersama sekuntum bunga,” katanya.
Pemilihan untuk reben dan bunga bergantung kepada kreativiti masing-masing. Namun, Amilita lebih selesa menggunakan reben sedondon warna kotak supaya lebih menyerlah.
“Untuk menghasilkan cenderahati yang menarik, selain gabungan warna, jenis bahan juga sangat penting. Untuk tampil eksklusif anda boleh menggunakan kotak atau bakul bersesuaian dengan jenis barang,” jelasnya.
Amilita yang menjalankan perniagaan cenderahati menerusi dalam talian www.azgiftbaskets.com.my bukan saja membuat penghantaran untuk musim perayaan,
tetapi juga untuk acara keraian seperti hari jadi, kelahiran bayi dan barang-barang spa. Malah, Amilita juga mengambil tempahan hantaran menggunakan bunga segar.
Pelanggan boleh membuat pilihan dengan melihat laman web kemudian menjelaskan bayaran sebelum barang dihantar ke alamat penerima yang mengambil masa dua hari untuk sampai.
Menurut Amilita, idea untuk menjalankan perniagaan ini bermula sekadar hobi menghias sendiri barang untuk rakan dan saudara-mara. Apabila semakin ramai menggemari rekaannya, ini menambah keyakinan Amilita untuk mengambil tempahan orang ramai. Antara gubahan yang mendapat perhatian ialah My Baby Boy, Serai Wangi dan terkini Bunga Kantan.
Sempena Aidilfitri ini, Amilita menunjukkan langkah demi langkah menghias cenderahati kuih raya untuk menghadiri rumah terbuka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: