Thursday, September 1, 2011

Bangga sebagai Anak Malaysia

GEMBIRA... berkongsi cerita pengalaman menyambut hari kemerdekaan.
GEMBIRA... berkongsi cerita pengalaman menyambut hari kemerdekaan.

TATKALA mereka yang ber agama Islam menyambut Syawal dengan penuh gembira, tidak dilupakan hari ini juga kita menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-54. Sambutan kemerdekaan tahun ini diraikan serentak dengan Hari Malaysia pada 16 September.

Berpuasa sepanjang Ogos, bukan penghalang untuk kita merasai kehangatan kemerdekaan. Jika bukan kerana pemimpin sebelum ini bekerja keras untuk membebaskan negara kita dari penjajah, sudah pasti kita tidak dapat menikmati apa yang sudah kita kecapi pada masa kini. Sambutan hari raya juga mungkin langsung tidak disambut atau tidak semeriah seperti yang kita lihat sekarang ini.

  • Foto

    CERIA...akan terus berjuang untuk memartabatkan negara.

  • Foto

    MANIS...Malaysia tetap di hati.

  • Foto

    ANAK MALAYSIA...bangga menjadi warganegara Malaysia.

  • Foto

    SATU...berbilang bangsa tapi bernaung di bawah bendera yang sama.

  • Foto

    SEGAK...menyukai baju Melayu walaupun bukan pakaian tradisional masyarakat Cina.

Tiga selebriti yang digandingkan bersama masing-masing mempunyai pengertian tersendiri mengenai makna kemerdekaan yang dikecapi. Jaclyn Victor, Black dan Wilson Tan tidak mempunyai sebarang masalah apabila digandingkan bersama kerana mereka sama-sama mempercayai pada satu perkara iaitu cintakan pada negara yang berbilang kaum.

Walaupun Black dan Jaclyn pertama kali digandingkan dengan Wilson, suasana sesi fotografi yang berjalan penuh dengan gelak ketawa apatah lagi dengan telatah Black yang suka menyakat dan sering membuat lawak.


Wilson, jejaka berkulit cerah ini mungkin kurang mendapat perhatian masyarakat Malaysia kerana kerjayanya sebagai �model. Dia jarang sekali muncul dalam acara-acara berbentuk hiburan tetapi sering menghiasi dada majalah terutama sekali yang berkaitan dengan fesyen termasuk di luar negara.


Pernah bergandingan dengan model wanita hebat, Amber Chia, Wilson tidak mahu mensia-siakan kesempatan yang diberikan kepadanya dan ingin membawa nama �Malaysia ke persada dunia.

Wilson ingin membuktikan lelaki Malaysia juga setanding dengan supermodel antarabangsa. Lagaknya apabila menggayakan busana di pentas berlainan daripada supermodel lain. Caranya berjalan sehinggalah eksperasi wajah yang ditunjukkan menjadikan namanya sering diingati kerana memaparkan kelainan.

Wajahnya yang seakan-akan lelaki Eropah memudahkan dia menembusi pasaran luar negara apatah lagi selepas dia memenangi Model Terbaik ketika Festival Fesyen Asia yang keenam di Seoul, Korea awal tahun ini. Turut berlakon dalam drama bersiri Cina, Wilson sangat bersyukur dengan apa yang dikecapinya.

“Saya rasa sangat gembira dan bersyukur kerana dianugerahkan wajah dan ketinggian seperti ini. Saya mempunyai matlamat dalam industri ini kerana hakikatnya apabila saya keluar negara, mereka sering bertanya asal usul saya.

“Tidak dinafikan saya sedikit kecewa apabila saya terangkan saya berasal dari Malaysia dan mereka bertanya ‘Malaysia?’. Saya ingin menembusi industri ini di Eropah seperti Paris untuk membuka mata masyarakat di luar sana,” katanya.

Tidak pernah menyambut hari kemerdekaan, Wilson berharap dia mempunyai peluang untuk merasai sendiri kehangatan sambutan hari bermakna itu bersama-sama dengan ribuan penduduk Malaysia.

Berbicara mengenai semangat cintakan pada negara, Wilson berpendapat mengibarkan bendera ketika bulan kemerdekaan bukan satu-satunya cara menunjukkan kecintaan kepada negara.

“Ada banyak cara untuk kita tunjukkan semangat itu. Bagi saya sendiri, sudah menjadi rutin hidup sering ke luar negara atas tuntutan kerja, tetapi sekiranya ada sesiapa yang memerlukan kepakaran saya sebagai model di Malaysia, tanpa berfikir panjang saya akan menempah tiket untuk pulang ke tanah air.

“Saya berasal dari Grik, sebuah perkampungan kecil yang belum membangun, tetapi saya tidak segan untuk mengaku siapa saya. Setinggi manapun kejayaan yang kita kecapi, jati diri tidak harus dilupakan kerana ia adalah salah satu perkara yang membentuk siapa diri kita,” katanya.

Segak menyarungkan baju Melayu berwarna biru, Black berkata, kebebasan yang dirasai sekarang harus dijaga bagi memastikan keharmonian negara terjaga kerana negara kita yang berbilang kaum dan jika tidak berhati-hati keadaan itu akan dijadikan senjata orang yang tidak bertanggungjawab untuk mengkucar-kacirkan keadaan.

“Tanpa kita sedari, sebenarnya kita sedang cuba dijajah dari segi fizikal dan mental kita melalui kecanggihan teknologi. Lihat saja internet yang sering digunakan dalam hidup kita. Jika tidak berhati-hati, sumber yang kita dapat dari Internet mungkin akan mengganggu kelancaran sistem di Malaysia, seterusnya mungkin akan mencetuskan pergaduhan.

“Kemerdekaan bukan hanya bererti negara bebas dari jajahan penjajah tetapi ia juga bermakna kita bebas dari pengaruh anasir luar dan sentiasa memupuk semangat cintakan negara.

“Sebagai anak Malaysia, sudah menjadi tanggungjawab setiap insan mempertahankan keamanan yang sudah dicapai oleh negara kita. Saya sebagai seorang penyanyi juga masih berjuang, berjuang untuk membawa Malaysia ke peringkat antarabangsa,” kata pelantun lagu Sofia Jane itu.

Katanya lagi, kerana terlalu cintakan negara dia sanggup turun ke medan perang sekiranya tenaganya diperlukan untuk mempertahankan negara. Bagaimanapun, Black mendoakan kesejahteraan Malaysia agar menjadi tempat yang selamat untuk generasi baru.

Pemenang Malaysian Idol, Jaclyn pula berkata, sudah tiba masanya anak-anak kecil diterapkan dengan unsur-unsur kemerdekaan dan bukan hanya bergembira kerana mereka tidak perlu ke sekolah pada Hari Kemerdekaan.

“Zaman sudah berubah. Ketika masih kecil, apa yang saya tahu pada hari kemerdekaan, saya tidak perlu �bersekolah. Duduk di rumah dan menonton televisyen, melihat perarakan di siaran langsung dari Dataran Merdeka.

“Tetapi kanak-kanak pada zaman ini semakin bijak. Tentu ada cara untuk menerapkan semangat cintakan negara dalam jiwa mereka. Jangan sampai kerana keselesaan hidup di negara ini, mereka lupa perjuangan orang-orang yang bertanggungjawab membebaskan negara kita,” katanya.

Wilson, Black dan Jaclyn bersyukur dilahirkan sebagai anak Malaysia dan tidak pernah malu bercerita mengenai latar belakang masing-masing kerana mereka sama-sama penyumbang kepada tunggak keamanan negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: