|
|
MALAYSIA yang terdiri daripada 13 buah negeri sememangnya merupakan sebuah negara yang unik.
Ini kerana ia sahaja terdiri daripada penduduknya yang berbilang kaum malah makanan yang pelbagai cita rasa turut diserikan lagi dengan pelbagai jenis hidangan yang pastinya membuka selera sesiapa sahaja.
Begitu pun, hari ini terdapat pelbagai jenis masakan dari pelbagai negara luar yang dihidangkan dalam usaha memberikan kelainan kepada rakyat negara ini.
Bagi mereka yang menyukai dan teringin merasakan keenakan masakan Asia Barat, apa kata luangkan masa anda dan kunjungi Hotel Prince & Residence Kuala Lumpur setiap malam Sabtu.
Ini kerana, pada hari tersebut mereka menganjurkan promosi bufet makanan malam yang bertemakan Laluan Sutera.
Chefnya, Shahriar Azarakhshi, 33, berkata, tema tersebut dipilih kerana sajian yang disediakan diilhamkan daripada sejarah laluan perdagangan di seluruh benua Asia yang menghubungkan Timur, Selatan dan Asia Barat.
Beliau yang berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang masakan turut memberitahu bahawa segala sajian 'Laluan Sutera' amat berbeza dengan hidangan-hidangan yang lain dan pastinya memikat selera sesiapa sahaja yang mencubanya.
"Untuk hidangan makan malam sempena promosi ini, kami menyediakan pelbagai hidangan yang terdiri daripada masakan India, China, Mongolia, Turki dan banyak lagi masakan Mediterranean.
"Sudah pasti segala menu yang dihidangkan akan memberi kelainan selera kepada masyarakat setempat dengan pelbagai ramuan yang sememangnya didatangkan khusus dari negara-negara berkenaan.
"Cuba dahulu kerana ia pastinya memberi kelainan cita rasa kepada anda," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Promosi tersebut yang telah bermula awal September lalu akan berakhir hujung bulan ini di Restoran Eccucino, yang terletak di tingkat bawah hotel tersebut.
Menyediakan lebih 60 sajian, ulas Chef Shahriar lagi, sudah pasti kesemua sajian yang dimasak mempunyai cita rasa yang berbeza.
Ini kerana menurut Chef Shahriar, tidak semua masakan sama bahan-bahannya dan juga sama cita rasanya.
Ia bergantung kepada sesebuah negara tersebut dalam penyediaan masakan masing-masing.
Memilih bahan-bahan segar serta rempah ratus yang berkualiti, makanan 'Laluan Sutera' mempunyai keunikan masing-masing dengan bercirikan campuran masakan tradisional dan moden.
Menurut Chef Shahriar, selain menggunakan bahan-bahan tempahan pihaknya turut membawa masuk rempah ratus dari negara luar.
"Kami membawa masuk rempah ratus dari negara luar adalah usaha untuk memberikan yang terbaik buat pelanggan.
"Dengan ini secara tidak langsung, para pelanggan dapat menikmati rasa sebenar masakan dari negara-negara yang terpilih," ulasnya lanjut.
Anda boleh memilih pelbagai masakan bermula dari pembuka selera hinggakan pencuci mulut.
Antara menu-menu yang disediakan untuk para pengunjung ialah kambing serta ayam shawama, nasi kukus Parsi, kebab tass, barbeku Mongolia, stew bebola daging Turki, kebab ikan Iran dan banyak lagi.
Menawarkan harga dari RM88 untuk orang dewasa, bagaimanapun bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak dikenakan sebarang bayaran.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: