Saturday, September 17, 2011

Rekaan sesuai bentuk tubuh raja sehari

MEWAH...perincian manik mewah pada hujung baju dan bahu menyerlahkan lagi kesempurnaan mempelai.
MEWAH...perincian manik mewah pada hujung baju dan bahu menyerlahkan lagi kesempurnaan mempelai.

MENZAHIRKAN lakaran di atas kertas tidak sama dengan sepasang fabrik yang lembut dan cantik. Biarpun nampak mudah tetapi ilham yang diperoleh harus sesuai dengan peribadi empunya tubuh agar pakaian yang direka tidak nampak cacat celanya, malah beralun cantik pada tubuh si pemakai.

Berpegang pada prinsip itu, bagi pereka muda Arma Abdul Rahman, biarpun dia lebih menjiwai rekaan perkahwinan Adi Busana, namun dalam konteks atau realiti sebenar, pakaian yang terlalu avant-garde bukanlah menjadi impian mempelai, sebaliknya hanya sesuai untuk acara karpet merah saja.

  • Foto

    MENYERLAH...fabrik sifon dengan sedikit sentuhan ringkas pada bahagian kiri menambah keanggunan ditambah kain kembang menggunakan fabrik net lembut.

  • Foto

    HIMPUNAN...antara koleksi pakaian yang menjadi pilihan mempelai.

  • Foto

    SEPATU...selain pakaian Arma turut membuat rekaan pada sepatu yang dikemaskan dengan manik pada bahagian hadapan.

  • Foto

    KONTEMPORARI...gaya moden dapat dilihat menerusi rekaan serta perincian manik pada bahagian pinggang manakala kemasan pada layah putih menyerlahkan lagi sisi si pemakai.

  • Foto

    ANGGUN...padanan gaun labuh dengan perincian manik mewah pada leher dan dada menjadi tumpuan mempelai. Busana ini juga turut disarungkan penyanyi Bienda ketika melangsungkan perkahwinan tahun lalu.

Lantaran itu daripada idea kreatif dan berseni, dia menghasilkan rekaan berkonsepkan kontemporari dengan mengekalkan unsur feminin sesuai dengan cita rasa wanita timur yang inginkan kesopanan dan kelembutan dalam majlis perkahwinan.

Menurut Arma, walaupun wanita masa kini tampak moden, namun untuk majlis perkahwinan mereka tetap memilih pakaian yang mampu mengekalkan ciri kewanitaan, lembut dan menyerlah daripada segi rekaannya.


“Ini dapat dilihat pada sepasang baju yang mempunyai alunan menarik dan terletak cantik pada tubuh si pemakai. Malah, saya akan pastikan setiap rekaan juga sesuai untuk wanita bertudung. Justeru, ia tidak ketat, jarang dan menutup aurat. Lebih penting, perhiasan digunakan tidak terlalu mewah, bersih dan sederhana,” katanya.


Arma yang berpengalaman menghasilkan rekaan perkahwinan selebriti seperti Mawi, Elyana dan Aida Gadis Melayu mengakui, walaupun dia menyediakan pakaian daripada rona terang seperti merah, kuning dan biru, warna pastel tetap menjadi pujaan dan gaya masa kini.

“Selain warna terang, rona perak, emas, coklat, kelabu, krim dan hitam bukan saja menjadi pilihan mempelai pada tahun ini tetapi menjelang 2012 nanti,” jelasnya yang menggunakan satu ton warna kerana lebih eksklusif dan mewah berbanding fabrik dua warna.

Bagi menyerlahkan lagi penampilan, jika dulu dia sering menurut cita rasa pelanggan tetapi kini Arma lebih banyak memberikan pendapat mengenai rekaan yang sesuai dengan bentuk tubuh mempelai supaya hasilnya lebih anggun dan menawan.

“Kebanyakan pelanggan hanya tahu apa yang mereka mahukan tetapi mereka kurang arif mengenai rekaan dan konsep yang sesuai dengan bentuk tubuh mereka. Dalam hal ini saya banyak berbincang dan memberikan pendapat supaya apa yang dihasilkan bukan saja mampu menyerlahkan penampilan pada hari bahagia malah
turut memberi informasi mengenai fesyen dan gaya masa kini.

“Misalnya pengantin tinggi lampai sesuai dengan rekaan gaun ala empayar kerana akan menonjolkan keistimewaan mereka. Malah, saya banyak menghasilkan rekaan berbentuk gaun kerana lebih anggun dan nampak feminin untuk mempelai,” katanya.

Selain menyediakan rekaan pakaian mempelai, Arma Abdul Rahman Wedding Couture
turut menyediakan perkhidmatan solekan pengantin, pelamin dan hantaran perkahwinan. Mempunyai Ijazah Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Arma mengakui bakat dalam bidang andaman bermula apabila dia diberi tanggungjawab membuat hiasan bilik tidur, hantaran dan cenderahati perkahwinan kakaknya yang diadakan di Cheras, Kuala Lumpur.

Dari situ, minat dalam bidang rekaan pakaian pengantin bermula dan dia terus menghasilkan rekaan untuk keluarga terdekat sebelum diperluaskan kepada rakan dan jiran tetangga.

Sehingga kini, Arma tampil eksklusif dengan pelbagai rekaan pakaian yang menjadi pilihan wanita bertudung. Keistimewaan pakaian pengantin yang dihasilkan terletak pada perincian manik sederhana namun memukau menerusi pemilihan padanan warna sesuai fabrik.

“Untuk majlis raja sehari, mempelai akan tampil lebih anggun dan menyerlah bukan saja menerusi padanan pakaian yang mampu menonjolkan keistimewaan bentuk tubuh tetapi juga akan memancarkan keserian wajah.

“Bagi wanita bertudung, keserasian di antara pakaian dan tudung sangat penting supaya kedua-duanya setanding dan seimbang,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: