Sunday, September 4, 2011

Raya Apek tak menjadi


APEK dan Johan cepat mencapai titik penyesuaian walaupun pertama kali bergandingan dalam filem Raya Tak Jadi.


BEBERAPA hari sebelum Syawal menjelma, pelawak terkenal, Mohd. Saiful Azam atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek berdepan tragedi ngeri apabila menjumpai mayat di dalam bonet kereta. Ketika itu, dia bersama seorang rakannya hendak memasukkan lemang ke dalam bonet kereta mereka.

Takut, cuak serta gementar, Apek tidak mampu untuk memberitahu perkara itu kepada pihak polis sehinggalah Pengurus Besar Filem Dan Drama Primeworks Studios, Tengku Iesta Tengku Alaudin memberikan kenyataan bertulis ini.

Sama ada terkejut atau keliru, namun di sebalik berita ini, ia sebenarnya bukanlah realiti. Hakikatnya ia sekadar sedutan daripada plot filem terbaru lakonan Saiful Apek dan Johan Raja Lawak berjudul Raya Tak Jadi. Filem berkenaan bakal menggegarkan panggung dengan gelak ketawa pada 15 September ini.

Bercerita sedikit mengenai komedi terbaru terbitan Primeworks Studios Sdn. Bhd. itu, Raya Tak Jadi mengisahkan Shuib lakonan Saiful Apek dan Bob (Johan Raja Lawak) yang menjadi punca raya tidak menjadi apabila mereka terjumpa sekujur tubuh di dalam bonet teksi yang dipandu oleh Shuib.

Bagaimanapun setelah dikenal pasti, mayat berkenaan merupakan mayat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu atau pengumum rasmi Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

“Filem ini penuh dengan gelak ketawa dan jenaka yang amat sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya anak-anak kecil kerana apa yang disajikan kali ini amatlah berbeza dengan filem-filem raya yang biasanya bertemakan komedi cinta.

“Raya Tak Jadi pasti tidak akan mengecewakan penonton,” kata Apek yang berpakaian baju raya kain langsir daripada kostum filem Raya Tak Jadi.

Dalam Raya Tak Jadi, Apek dan Johan Raja Lawak yang pertama kali bergandingan juga berjaya menyatukan sebagai regu komedi yang tidak mengecewakan.

Sempena bulan Syawal ini, Primeworks Studios ingin memberikan peluang kepada semua rakyat Malaysia untuk menyertai peraduan video Wohoo! Raya! Untuk butiran lanjut, sila layari laman sesawang www.facebook.com/gbgrandbrilliance atau ikuti di laman Twitter Grandbrilliance.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: