MENGEMAS KINI, menuras dan mencaturkan sebuah novel cinta terhangat yang sangat laris di pasaran sehingga mencatat tiga kali ulang cetak setidak-tidaknya memberi satu jaminan bahawa filem Karipap-Karipap Cinta sudah ada pengikut. Itu perkiraan logik.
Seperkara lagi, ia diarahkan pula oleh Othman Hafsham, pengarah filem Soalnya Siapa yang mendapat sambutan hangat 10 tahun lalu.
Karipap-Karipap Cinta ialah acuan asal yang seratus peratus dialihkan daripada medium tulisan ke medium visual. Tambahan pula, kerja penulisan lakon layar dan adaptasi novel ke filem dilakukan sendiri oleh penulis novel berkenaan, Nazri M. Annuar. Itu satu pencapaian peribadi buat Nazri. Sebagai percubaan pertama, dia keluar daripada kepompong penulis biasa.
Dari segi penceritaan, kejujuran novel itu memang secara nyata dapat dilukiskan ke dalam versi filem, namun setelah disaksikan di layar perak, barulah sesebuah karya adaptasi itu sebenarnya harus diperhalusi oleh tangan yang benar-benar faham bahasa filem, bukan sekadar bahasa persuratan.
Bukan untuk menuduh Karipap-Karipap Cinta gagal mencapai kehebatan versi novel, tetapi impak dipersembahkan dalam versi filem kurang mencapai keseimbangan.
Mungkin percaturan meletakkan Gambit Saifullah dan Mellia Aimellia sebagai hero dan heroin filem berkenaan kurang mencuit emosi audiens.
Tapi ada juga yang berpendapat kehadiran Eman Manan, hero watak serius yang diterbalikkan menjadi watak komedi pula satu persembahan lain daripada kebiasaan.
Secara keseluruhannya, sebagai sebuah komedi untuk hidangan pesta hari raya, Karipap-Karipap Cinta masih sebuah naskhah berbilang emosi yang manis dan rangupnya masih dapat dirasai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: