Wednesday, September 28, 2011

Polis laku kesalahan tidak dilindungi


ABU SEMAN melihat keadaan pusat pemeriksaan di Bukit Kayu Hitam ketika melakukan tinjauan sempadan di Bukit Kayu Hitam semalam.


BUKIT KAYU HITAM - Kerajaan tidak akan melindungi mana-mana anggota polis yang melakukan kesalahan dan tindakan sewajarnya perlu dikenakan jika mereka didapati bersalah, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop.

Menurutnya, polis adalah anggota pasukan profesional dan kementerian tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang.

"Seorang anggota polis sepatutnya memberi contoh baik kepada orang ramai dan bukan melakukan sebaliknya," katanya kepada pemberita semasa melakukan lawatan ke kawasan sempadan dari Bukit Kayu Hitam hingga Perlis di sini semalam.

Beliau diiringi Setiausaha Bahagian Keselamatan Kawasan Sempadan merangkap Ketua Pengarah Unit Pencegahan (UPP), Datuk Ab. Rahim Ismail.

Abu Seman mengulas dakwaan seorang pekerja pembersihan sisa pepejal, Mohd. Ridzuan Mohd. Noor, 23, mendakwa dibelasah lima anggota polis kerana dikatakan menegur seorang daripada mereka yang tidak membuang sampah ke dalam tong.

Ketika kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi itu, mangsa membuat kerja-kerja pembersihan di Taman Bahagia, Kodiang dekat sini Sabtu lalu.

Menurut Abu Seman, kerajaan tegas dalam menangani masalah disiplin di kalangan pegawai dan anggota keselamatannya.

"Kita akan buat siasatan dan ambil tindakan sewajar sekiranya terbukti mereka bersalah.

"Ia bergantung kepada siasatan sama ada tindakan disiplin mengikut Akta Polis atau Kanun Keseksaan bagi yang melibatkan sesuatu jenayah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: