Saturday, September 3, 2011

Pesta Terengganu di Menara KL


PELBAGAI barangan kraf dipamer dan dijual sempena Pesta Negeri Terengganu di Menara Kuala Lumpur.


MENARA Kuala Lumpur (MKL) tidak pernah sunyi daripada aktiviti. Salah satu aktiviti bulanan yang dianjur ialah Pesta Negeri yang diadakan di Kampung Budaya 1Malaysia MKL.

Baru-baru ini, MKL di bawah program yang sama menganjurkan Pesta Negeri Terengganu yang menampilkan pelbagai aktiviti di samping memperkenalkan makanan, kebudayaan dan tarikan pelancongan negeri Pantai Timur itu.

Pesta yang membabitkan negeri Terengganu itu adalah kali kedua selepas pesta yang sama diadakan pada tahun 2008 di tempat yang sama. Apa yang menarik, Pesta kali ini menerima penyertaan dua kali ganda lebih banyak daripada pesta sebelumnya.

Pada majlis pelancarannya, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Terengganu, Datuk Abd. Rahin Mohd. Said berkata, pihaknya amat gembira melihat kedatangan orang ramai ke Pesta Negeri Terengganu itu iaitu sebanyak 6,630 pengunjung pada tiga hari pertama sahaja.

“Ini satu angka yang besar kerana kami menyasar antara 2,000 hingga 3,000 orang sahaja,” ujar Rahin.

Ketua Pegawai Eksekutif MKL, Zuraidah Mohd. Said berkata, pesta negeri seperti ini juga menjadi platform kepada pengunjung dari pelbagai negeri di Malaysia dan luar negara untuk mendekatkan diri dengan seni dan budaya negeri lain.

“Ini secara tidak langsung membantu mempromosikan warisan dan budaya. Ia juga menggalakkan perkembangan industri pelancongan negeri tersebut,” katanya.


ABDUL RAHIN (tiga dari kanan) menyaksikan aktiviti menenun songket di Menara Kuala Lumpur.


Promosi produk tradisi

Tambah Zuraidah, sebagai destinasi pelancongan utama yang menarik kira-kira tiga juta pengunjung tahun lepas dan sekitar 2.8 juta pengunjung setakat Ogos tahun ini, MKL berpotensi menjadi pusat paling ideal untuk mempromosikan pesta sedemikian.

“Ini satu peluang keemasan bagi kami memperkenalkan negeri Terengganu yang unik dan istimewa,” ujar pengukir dari Tanjung Bakawali Sdn. Bhd., Norikhwan Nordin, 28.

Beliau yang sibuk membuat ukiran kerawang memberitahu, pesta tersebut merupakan tempat yang sesuai untuk pengunjung mengenali dan membeli ukiran yang dijual.

Bagi Maimunah Yusof, penggerai kerepek dan makanan ringan Terengganu pula, memperkenalkan kerepek kepada pengunjung luar negara adalah satu pengalaman yang mengujakan.

“Ramai yang tertarik dengan kerepek di gerai saya kerana saya bukan menjual kerepek yang biasa, tetapi saya mengolah kerepek baru yang lebih sedap,” katanya sambil menawarkan kerepek yang dibuat daripada roti canai.

Dengan jumlah pengunjung yang ramai, pihak MKL dan Pelancongan Negeri Terengganu berharap dapat menganjurkan pesta serupa pada masa akan datang.

Pesta Negeri seterusnya membabitkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Sabah.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, hubungi talian 03-2020 5454 atau layari laman web www.menarakl.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: