Saturday, September 3, 2011

Jiwa patriotik wataniah


PENUBUHAN Kompeni AW Parlimen diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada tahun 2000.


WALAUPUN hasrat untuk menyertai pasukan tentera pernah dihalang keluarga, namun minat terhadap pasukan seragam itu sejak kecil kekal membara dalam jiwanya. Buktinya, Oh Kean Kwee, 44, telah berjaya terpilih untuk menyertai Askar Wataniah (AW) sebagai rekrut sukarela di Batalion 1 Rejimen 509 AW di George Town, Pulau Pinang kira-kira 11 tahun lalu.

Mengakui latihan yang dijalani selama sebulan sangat mencabar, namun demi minat yang mendalam, Kean Kwee melaluinya dengan tabah. Berkat kesungguhannya, akhirnya dia diumumkan sebagai rekrut terbaik dalam latihan tersebut.

Bertitik tolak dari saat itu, penglibatannya dalam bidang ketenteraan semakin menunjukkan perkembangan yang positif. Bermula daripada pangkat Prebet, dia telah dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Waran I, iaitu pangkat paling kanan untuk anggota peringkat bawahan tentera.

“Penyertaan saya kerana tanggungjawab sebagai rakyat yang sayangkan negara. AW merupakan platform terbaik untuk menyumbang tenaga walaupun negara dalam keadaan aman,” ujar bapa kepada seorang anak ini.

Menurut pengurus operasi di sebuah syarikat swasta ini, kesibukan tugas tidak menghalang dia untuk bergiat aktif dalam latihan dan aktiviti AW termasuk mengikuti kursus kerjaya tentera.

Daripada empat kursus yang dihadiri di Pusat Latihan Askar Wataniah (Puswatan), dia terpilih menjadi pelatih terbaik sebanyak dua kali iaitu bagi Kursus Ketua Seksyen dan Ketua Penolong Ketua Platun.

Kini, Kean Kwee adalah Sarjan Mejar Kompeni di Batalion 1 Rejimen 509 (AW) di George Town. Matlamatnya kini ialah mahu menggalakkan lebih ramai golongan muda terutama kaum bukan Melayu menganggotai pasukan tersebut.

“Jika ingin berbakti kepada negara, AW pilihan terbaik kerana kita bukan sahaja dilatih dengan ilmu ketenteraan tetapi disiplin untuk menjadi warganegara yang baik.

“Latihan ketenteraan mengajar kita menghormati antara satu sama lain tanpa mengira bangsa atau agama serta bersama-sama memupuk semangat setiakawan,” ujarnya.


AHMAD ZAHID HAMIDI turut menggalakkan golongan bukan bumiputera untuk menyertai pasukan tentera negara.


Saranan yang sama turut disuarakan rakan sepasukannya yang juga seorang wanita, Kapten Goh Hui Leng, 35.

Kata Hui Leng, tanggungjawab mempertahankan negara terletak di bahu semua rakyat Malaysia.

“Sebagai pegawai wanita, saya amat menggalakkan penyertaan lebih ramai kaum hawa ke dalam AW kerana bukan sahaja kita dilayan sama seperti lelaki, malah diberi peluang mempamerkan kebolehan.

“Sama ada wanita atau lelaki, tiada perbezaan jantina dalam AW, malah kedua-duanya mempunyai peranan yang sama penting,” ujar guru di Sekolah Menengah Convent Dato’ Keramat yang telah menyertai AW selama 10 tahun setelah ditauliahkan daripada Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Sains Malaysia (USM).

Kedua-dua mereka ditemui pada perbarisan Pelancaran Kompeni AW Kawasan Parlimen Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut dirasmikan secara gilang-gemilang oleh Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahim Mohd. Yusoff.

Kompeni Parlimen AW

Abdul Rahim yang mewakili Panglima Tentera Darat telah menerima tabik hormat perbarisan yang melibatkan kira-kira 600 pegawai dan anggota daripada Rejimen 509 (AW) yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Mazlan Mohammad.

Menyorot kembali penubuhan Kompeni AW Parlimen, ia sebenarnya diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada tahun 2000.

Selain bertujuan menambah paras keanggotaan AW, usaha ini juga sejajar dengan Dasar Pertahanan Negara (DPN) yang berkonsepkan Pertahanan Menyeluruh (Hanruh) bagi memberi pendedahan kepada masyarakat terhadap tugas ketenteraan.

Dalam ucapannya, Abdul Rahim memberitahu, sebanyak 23 lagi Kompeni Askar Wataniah (AW) bagi kawasan Parlimen akan ditubuhkan di empat negeri bagi melengkapkan jumlah sasaran sebanyak 222 pasukan seperti yang dirancang.


LEFTENAN Muda Chew Chong Ooi (paling kiri), Pegawai Waran II Oh Kean Kwee, Kapten Goh Hui Leng dan Leftenan Khor Aik Keong merupakan contoh kaum bukan Melayu yang terlibat dalam pasukan simpanan sukarela Tentera Darat.


Tambah beliau, setakat ini sebanyak 199 kawasan Parlimen telah menubuhkan Kompeni AW.

Beberapa kawasan Parlimen di Kedah, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur yang belum mempunyai pasukan AW itu akan ditubuhkan secara berperingkat sehingga penghujung tahun ini.

“Rancangan penubuhan ini selaras dengan Prestasi Petunjuk Utama (KPI), Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahu pelancarannya disempurnakan sebelum penghujung tahun,” ujarnya.

Abdul Rahim berkata, penubuhan Kompeni AW di setiap kawasan Parlimen telah memberi impak dan kesan positif kepada masyarakat.

“Kita berupaya menarik minat pelbagai lapisan masyarakat termasuk individu yang boleh dijadikan ikon seperti selebriti, atlet sukan dan mereka yang mengharumkan nama negara dengan kebolehan tertentu.

“AW juga telah memberikan pendedahan kepada orang awam tentang tugas ketenteraan dan ia mampu meningkatkan kefahaman mereka sekali gus menjadi penghubung antara tentera dan rakyat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: