Thursday, September 1, 2011

Murid istimewa hasilkan Jalur Gemilang 20 meter


Guru Besar SK Padang Kala (bertali leher), Ab Aziz Salleh bersama murid PPKI yang berjaya menghasilkan Jalur Gemilang sepanjang 20 meter di sekolah itu di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.


Murid-murid istimewa Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kala berjaya menyiapkan Jalur Gemilang sepanjang 20 meter di Kota Bharu, Kelantan,, baru-baru ini.

Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas sekolah itu, Zaidee Jusoh berkata, kejayaan tersebut merupakan satu mercu tanda ke arah melahirkan generasi daripada kalangan murid kurang upaya untuk mengenal, menghayati dan mencintai negara terutamanya lambang kemegahan kita iaitu Jalur Gemilang.

"Semoga dengan penghasilan Jalur Gemilang ini mampu meningkatkan semangat kemerdekaan bukan sahaja di kalangan murid kurang upaya malah kepada semua warga sekolah untuk menyambut hari kemerdekaan tidak lama lagi," katanya.

Menurut beliau, penghasilan bendera itu bukan sahaja memenuhi hasrat dan saranan kerajaan dalam menghayati bulan kemerdekaan malah menjadikan bangunan PPKI sebuah bangunan yang ceria serta menarik dihiasi dengan Jalur Gemilang.

Bendera itu disiapkan dalam tempoh empat hari oleh murid istimewa yang dikawal selia oleh guru PPKI dan pembantu pengurusan murid.

"Ia membuktikan bahawa murid-murid istimewa juga mempunyai rasa tanggungjawab kepada negara, memelihara kedaulatan Jalur Gemilang, bersama menggerakkan wawasan negara, mengenal sejarah kemerdekaan negara dan mengenal konsep 1 Malaysia," jelas Zaidee.

Pada masa yang sama, ujarnya, projek membuat bendera ini berjaya menjalinkan semangat kerja berpasukan antara semua pihak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: