TIDAK sekadar memberi tumpuan kepada pembangunan telefon bimbit pintar mewah, Nokia terus unggul mencipta peranti telekomunikasi untuk pelbagai peringkat pengguna.
Terbaru, syarikat teknologi itu memperkenalkan model mampu milik, Nokia 500 yang hadir bersama kualiti serta prestasi unggul tanpa kompromi.
Telefon bimbit sentuh berkenaan dilengkapi pemproses 1Ghz pantas, kamera lima megapiksel, pengalaman muzik dan hiburan terbaik serta dilengkapi peta navigasi.
Tidak cukup dengan itu, model berkenaan turut dipacu sistem operasi Symbian Anna, perisian yang dipertingkatkan serta pelayaran web lebih lancar.
Menurut Naib Presiden Nokia, Ilari Nurmi, kebanyakan telefon bimbit mampu milik dibangunkan dengan kualiti perkakasan dan pengalaman komunikasi berkualiti rendah.
''Jadi, menerusi model ini, Nokia ingin membuktikan bahawa kita akan terus komited menghasilkan portfolio telefon bimbit pintar seumpamanya demi memenuhi keperluan pasaran,'' jelasnya.
Bagi penggemar aktiviti pelayaran Internet dan laman web rangkaian sosial pula, Nokia 500 tersedia bersama aplikasi Twitter dan Facebook serta laman sembang secara langsung pada paparan utamanya.
Lebih menarik, gajet ini turut menyokong pembukaan banyak aplikasi pada satu-satu masa, pertukaran aplikasi secara pantas dan tidak melambatkan perjalanan sistem.
Menerusi teknologi peta Ovi terbaru, pengguna model ini boleh mendapat panduan perjalanan di 80 buah negara.
Nokia 500 akan mula berada di pasaran negara menjelang penghujung suku ke ketiga tahun ini.
Ia ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam dan putih.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: