Thursday, September 15, 2011

Maya Karin Minta Artis Muda Bijak Rancang Masa Depan

Maya Karin.

KUALA LUMPUR: Pelakon Maya Karin menyarankan agar selebriti-selebriti tempatan terutamanya bagi golongan muda supaya dapat merancang masa depan menerusi pelaburan harta.

Menurut Maya, menjadi pelakon atau penyanyi sebenarnya tidak mempunyai sebarang jaminan menyebabkan mereka wajib merancang masa depan menerusi pelaburan seperti insurans, pembelian rumah dan tanah.

"Menjadi selebriti, kita tidak punya masa untuk berniaga dan bagi yang membuka perniagaan, saya tabik kepada mereka kerana bijak menguruskan masa.

"Bagi yang sukar membahagikan masa, cara pelaburan harta adalah kaedah paling selamat. Saya tahu, apabila kita menerima bayaran dengan jumlah wang yang besar, mata kita akan kabur seketika dan mulalah kita sibuk membeli barangan yang diinginkan serta belanja makan dan pakai keluarga.

"Tidak salah untuk belanja keluarga dan rakan-rakan, tetapi mereka perlu berpada-pada untuk simpanan masa depan," katanya yang ditemui di Majlis Rumah Terbuka anjuran Murai.com di Hotel Doubletree, di sini, Selasa.

Tambah Maya, dia sedih apabila melihat kebanyakan pelakon-pelakon hebat terutama daripada golongan artis veteran mempunyai kehidupan yang sederhana dan masih lagi bekerja keras dalam dunia lakonan walaupun menerima bayaran rendah.

"Kalau glamor sahaja buat apa jika kita tidak mempunyai keselesaan hidup? Sedih sangat apabila ada lagi selebriti popular yang sudah lama berkecimpung dalam industri masih duduk di rumah sewa.

"Biarlah lima tahun pertama bergelar pelakon atau penyanyi, kita membuat pelaburan dengan membeli insurans serta aset-aset lain, kemudian sewakan kepada orang dan Insya-Allah, selepas 15 tahun, hidup akan lebih mudah dan terjamin," jelas Maya.

Dalam pada itu, Maya yang telah membeli beberapa rumah dan rumah sejak tahun 2001 kini baru sahaja membeli sebidang tanah di Terengganu.

"Nak beli secara keseluruhan, saya pun tidak mampu. Kita ada bank untuk membuat pinjaman dan gunakannya dengan pelaburan sebegini.

"Seperti yang saya katakan tadi, nak berniaga memang susah, apatah lagi untuk mendapat wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di hari tua nanti. Syukurlah kerana ibu yang memberi idea untuk saya menyimpan wang dengan cara begini. Biarlah kita bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian," nasihatnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: