Thursday, September 1, 2011

Liyana kutip pengalaman di Istanbul




TAHUN pertama beraya sebagai pengacara, Nur Liyana Kamar Hisham tidak berasa sebarang perbezaan pada dirinya. Menurutnya, segala persiapan sama sahaja seperti tahun sebelumnya. Persalinan cuma dua pasang dan kuih-muih pula tiada yang ditempah berlebihan.

Tambahan pula gadis berusia 25 tahun ini juga pernah berlakon secara secara sambilan sebelum ini. Justeru, dikenali atau tidak itu bukan soalnya. Cuma katanya, kadang-kadang bila bertemu orang luar ada yang memandang dan bertanya, "Ini Liyana pengacara rancangan Safiyya TV9 ke?"

Bercerita tentang Hari Raya, Liyana dan keluarga pulang berhari raya di Batu Burok, Terengganu seperti tahun-tahun sebelumnya. Saat paling ditunggu bila dapat berkumpul bersama datuk, nenek dan sanak saudara sebelah ibunya. Apatah lagi peluang sebegini bukan datang selalu.

"Paling seronok dapat menikmati pelbagai jenis masakan Terengganu yang enak seperti nasi dagang, satar dan pelbagai lagi. Pendek kata kalau pulang ke sana, tidak sah kalau tidak merasa pelbagai jenis makanannya yang enak-enak belaka," katanya.

Tidak sampai setahun menimba pengalaman sebagai pengacara dalam rancangan berbentuk Islamik itu, penuntut Master dalam jurusan klinikal dan kaunseling di Universiti Islam Antarabangsa ini bertuah kerana dapat menimba ilmu berharga.

Liyana ke seluruh pelosok negara mencari bahan untuk pengisian rancangan yang disiarkan setiap Ahad itu. Paling mengujakan, dia baru pulang dari Istanbul, Turki menjayakan episod khas Hari Raya.

"Ini kali pertama tugasan Liyana di luar negara. Memang seronok tambahan pula Turki terletak dalam dua benua iaitu Eropah dan Asia. Perbezaannya sangat jelas dan ketara dari pelbagai sudut. Kalau kita mahu kehidupan moden dan membeli-belah, hala ke bandar di benua Eropah manakala untuk menginap pula ramai yang memilih Asia kerana suasana yang lebih tenang," kata anak kedua daripada empat adik-beradik ini.

Liyana juga sempat singgah ke senibina unggul bandar sejarah itu, Masjid Biru yang tersergam indah. Selain itu, dia tetap tidak ketinggalan menikmati juadah istimewa Turki terutama kebab, nasi mandi dan bhaklava.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: