Thursday, September 1, 2011

Wanita penjalin perpaduan


Shahrizat mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan wanita daripada golongan orang kelainan upaya.


WANITA di Malaysia mencapai satu lagi mercu kejayaan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak meluluskan Dasar Sekurang-kurangnya 30 peratus Wanita di Peringkat Pembuat Keputusan Dalam Sektor Korporat pada bulan Jun lalu.

Peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh pihak kerajaan sudah pasti tidak akan dipersia-siakan oleh wanita.

Untuk tujuan tersebut, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang mengambil langkah mengimplemen program melatih dan menyediakan lebih ramai wanita yang berpotensi bagi dilantik sebagai Pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah di syarikat-syarikat bursa saham, syarikat milik kerajaan (GLC), perbankan dan sebagainya.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, dasar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan sektor awam yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak tahun 2004 telah menampakkan kejayaan yang memberangsangkan.

''Bilangan wanita yang memegang jawatan utama dalam sektor awam telah meningkat daripada 18.8 peratus pada tahun 2004 kepada 32.3 peratus pada tahun lalu.

''Di kalangan ahli profesional wanita yang berdaftar pula, 62.8 peratus adalah doktor gigi, 48 peratus peguam, 48.5 peratus akauntan, 45.6 peratus doktor perubatan dan 41 peratus juru ukur bahan.

''Daripada segi penyertaan wanita dalam tenaga buruh, usaha keras perlu dilakukan oleh semua pihak, iaitu kerajaan dan swasta bagi meningkatkan kadar daripada 46.1 peratus kepada 55 peratus pada tahun 2015 seperti yang disasarkan oleh kerajaan.

''Kerajaan menyediakan bantuan bagi melaksanakan semua aktiviti di bawah 13 sektor Dasar Wanita Negara (DWN).

" Semenjak tahun 2001 hingga Jun tahun ini, sebanyak RM35.8 juta telah diperuntukkan kepada NGO wanita bagi melaksanakan program-program pengupayaan wanita yang merangkumi kepentingan pelbagai bangsa termasuk wanita daripada etnik minoriti,'' kata Shahrizat sempena sambutan Hari Wanita Peringkat Kebangsaan 2011 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sambutan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Turut hadir ialah Datin Seri Rosmah Mansor, Tun Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Heng Seai Kie, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta 5,000 jemputan yang terdiri daripada ahli NGO, usahawan wanita dan wakil agensi kerajaan serta swasta.

Shahrizat turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pelantikan Profesor Datuk Zaleha Kamarudin seorang ahli akademik sebagai Rektor Universiti Islam Antarabangsa.

Shahrizat berkata, pihak kementeriannya membuat keputusan bahawa tema perpaduan, keamanan dan keselamatan akan menjadi teras perjuangan wanita sempena Hari Wanita Kebangsaan 2011.

''Justeru, ia amat bertepatan dengan tema yang dipilih, iaitu Wanita Penjalin Perpaduan.

''Oleh kerana pihak NGO dan masyarakat awam telah menjadi rakan smart partner dalam perjuangan wanita, pihak Kementerian telah mempelawa pihak NGO bersama-sama turun padang mendampingi rakyat bagi mengekalkan perpaduan dan keselamatan negara,'' ujar beliau.

Menurut beliau, sambutan Hari Wanita Kebangsaan tahun ini telah dimulakan sejak bulan Julai lalu dengan sambutan 10 tahun penubuhan Jabatan Pembangunan Wanita.

Ini diikuti dengan Sidang Kemuncak Wanita 2011 dan seterusnya pelaksanaan program-program pembangunan kapasiti wanita seperti I-Kit di seluruh negara, program Kraf Kreatif dan Jejari Bestari yang dijalankan di kawasan parlimen dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga.

Tambah Shahrizat, memandangkan NGO mempunyai keupayaan untuk mendampingi masyarakat setempat, perdana menteri telah meluluskan RM20 juta bagi melaksanakan program-program Sekata (Keselamatan Keluarga Tanggungjawab Kita).

Pada sambutan itu juga, sebanyak RM9.75 juta diagihkan kepada 127 NGO yang akan menjalankan program di peringkat akar umbi dengan ahli-ahli gabungan atau cawangan mereka.

Program ini dijangka akan memberi manfaat kepada tidak kurang 100 ribu ahli keluarga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: