Monday, September 12, 2011

Kumpul dana naik taraf prasarana


Wee Ka Siong melancarkan program jogathon SMK Pandan Mewah untuk mengumpul dana menambah baik kemudahan sekolah itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


DALAM merealisasikan hasrat untuk menambah baik prasarana sekolah bagi keselesaan pelajar dan seluruh warganya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandah Mewah melancarkan program Jogathon untuk mengumpulkan dana bagi tujuan tersebut di sekolah itu baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong ketika melancarkan program itu berkata, inisiatif mengadakan jogathon patut mendapat sanjungan kerana ia secara tidak langsung memberi peluang kepada ibu bapa untuk terlibat dalam membantu mengumpul dana sekolah.

"Sasaran untuk mengumpulkan dana sebanyak RM135,000 ini akan menjadi kenyataan jika tenaga semua pihak dapat digemblengkan dalam membantu sekolah.

"Matlamat ini juga akan mampu direalisasikan dengan penglibatan pihak-pihak luar seperti orang perseorangan, syarikat-syarikat dan badan korporat yang lain," ujar beliau.

Jelasnya lagi, kemudahan sedia ada yang terdapat di sekolah perlu dinaik taraf dan ditambah sejajar dengan keperluan semasa bagi kegunaan dan kebaikan sekolah serta faedah kepada orang ramai.

"Keprihatinan ibu bapa terhadap perkembangan anak-anaknya di sekolah akan menjadi rangsangan terbaik kepada murid-murid untuk melakar kejayaan.

"Inisiatif ini bakal menjadi landasan untuk pelajar mendekati budaya murah hati dengan membantu melengkapkan kekurangan kemudahan dalam usaha untuk menghasilkan mutu pendidikan yang berkualiti," katanya

Sementara itu, Pengetua Cemerlang SMK Pandah Mewah, Inson Derani berkata, program yang julung kali dianjurkan itu bermatlamat untuk membiayai program akademik para pelajar terutamanya kepada calon-calon yang bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

"Melalui hasil dana yang dapat dikumpulkan melalui penjualan kupon sempena jogathon peringkat sekolah itu nanti akan digunakan bagi penambahan infrastruktur sekolah yang mampu meningkatkan lagi pencapaian pelajar dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.

"Kemudahan yang bakal dinaik taraf melalui hasil dana ini juga diharap akan membantu dalam menambahkan lagi tahap kecemerlangan keputusan peperiksaan di kalangan para pelajar," katanya.

Program jogathon ini diadakan secara kerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: