Monday, September 12, 2011

Penyelidik UMT kultur mutiara air tawar


Penyelidik di China berjaya menghasilkan mutiara air tawar yang bernilai tinggi.


PASTI ramai yang geram dan teruja melihat mutiara yang cantik untuk dijadikan perhiasan. Mutiara tempatan terkenal di Sabah dan ramai tertanya-tanya bagaimana proses kultur atau bahasa mudahnya, menternak mutiara.

Mutiara yang terdapat di pasaran kini kebanyakannya adalah daripada air masin. Namun pada pandangan mata kasar, fizikalnya lebih kurang sama dengan mutiara air tawar cuma yang air masin lebih padat.

Namun, pasaran mutiara air tawar tetap ada kerana peminatnya ramai, khususnya wanita untuk dijadikan perhiasan.

Persoalannya, sejauh mana pengeluaran mutiara air tawar boleh dipertingkatkan dan dijadikan aktiviti ekonomi untuk masyarakat luar bandar.

Mungkin ada yang sangsi dengan projek seumpama itu memandangkan pasarannya terhad kerana ia bukan komoditi makanan.

Namun, inisiatif ke arah itu wajar digerakkan dan dipuji kerana belum ada pihak yang meneroka projek ternakan mutiara air tawar di negara ini.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi salah sebuah pusat kecemerlangannya, Institut Akuakultur Tropika (Akuatrop) mengambil langkah berani memulakan projek menternak mutiara air tawar.

Projek itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Terengganu dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) serta dibiayai oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) Terengganu.

Menurut Pengarah Akuatrop, Prof. Dr. Faizah Shaharom, idea tersebut timbul selepas beliau mengadakan tinjauan ke Tasik Kenyir di Terengganu pada tahun 2008 bersama Dr. A. Sait Sahul Hameed, penyelidik dari Jabatan Zoologi, Kolej C. Abdul Hakeem India bagi meninjau potensi di tasik berkenaan.

Kata Dr. Faizah, beliau dicadangkan untuk mencuba projek kepah mutiara kerana kemungkinan ada kesesuaian di tasik tersebut.

Idea tersebut akhirnya di realisasikan pada tahun lepas oleh seorang penyelidiknya, Zulizah Ochi yang berminat dengan penghasilan mutiara.

Selaku pembantu penyelidik projek berkenaan, Zulizah bersama rakannya Haziq Norzin telah memulakan projek ternakan di pusat penetasan Akuatrop.

Langkah itu bermula selepas pasukannya di Akuatrop berjaya mengenal pasti sejenis kepah yang terdapat di Tasik Kenyir yang boleh menghasilkan mutiara air tawar.

''Kajian tersebut membuahkan hasil dengan terbentuknya blister pearl yang telah dikenal pasti oleh pakar mutiara dari luar negara, Dr. Tom K. Stern, kata Zulizah.

''Namun selepas tiga bulan, kepah yang telah di implan itu mati akibat kekurangan makanan semulajadi dan ketidaksuaian diternak di dalam tangki,'' kata beliau ketika di temui di UMT, baru-baru ini.

Menurut Zulizah, tinjauan awal yang dijalankan menunjukkan Tasik Kenyir berpotensi menjayakan projek mutiara air tawar.

Spesies kepah yang telah dijumpai oleh penyelidik dari UMT telah pun dikenal pasti.

Keyakinan UMT untuk meneruskan projek berkenaan berdasarkan kejayaan pengusaha di China yang menghasilkan mutiara air tawar secara komersial sejak awal 1970.

Kejayaan Indonesia yang juga telah berjaya menghasilkan mutiara air tawar menerusi Margaritifera sp. yang berasal dari Taiwan pada 2005 secara kolam terkawal juga menjadi pendorong kepada percubaan UMT.

Bahkan Vietnam, Thailand, India dan Bangladesh telah menceburi ternakan mutiara air tawar di dalam kolam.

Maka bukan satu yang mustahil bagi UMT untuk menceburi ternakan mutiara air tawar.

Menurut Dr. Faizah, teknik penghasilan mutiara di Indonesia sama seperti yang dijalankan di Taiwan iaitu menggunakan pengimpalanan nuclei sebagai asas pembentukan mutiara dan diletakkan dalam kolam.

Dengan maklumat-maklumat terbaru itu, Akuatrop bersama Jabatan Perikanan telah mengenal pasti sebuah kolam rekreasi milik Ketengah untuk dijadikan tempat pengkulturan kepah mutiara bersama dengan ikan.

Beliau menggunakan kepah selepas maklumat daripada kajian Zulizah dan rakannya bahawa ia boleh digunakan menggantikan tiram untuk tujuan yang sama.

Sistem polikultur adalah sama seperti yang diamalkan di Taiwan dan terbukti membuahkan hasil yang lumayan.

Di samping dapat menambahkan pendapatan kerana dapat menghasilkan dua jenis produk akuakultur pada masa yang sama, sistem ini juga terbukti dapat menjimatkan ruang pengkulturan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: