Sunday, September 4, 2011

Kisah lebaran 2 teruna



Siapa yang tidak kenal dengan pelakon tampan, Jehan Miskin iaitu antara aktor berkaliber dalam industri lakonan tempatan.

Bukan sahaja berlakon dan mengacara, Jehan kini melebarkan sayap sebagai pengarah menerusi filem pendek berjudul Karma.

Nama Afiq Muiz pula mungkin masih asing dalam kalangan peminat, namun pemuda berusia 19 tahun ini sudah membintangi banyak drama.

Bermula sebagai model, bakatnya dalam lakonan semakin mekar sejak menjayakan teater Gelanggang Tok Wali.

Pertemuan dengan kedua-duanya dalam sebuah majlis anjuran Great Eastern Mall berjaya mencungkil kisah mereka sempena Aidilfitri.



Jehan beraya di luar negara

Jika Aidilfitri sebelum ini Jehan menghabiskan masa dengan keluarganya di Kuala Lumpur, tahun ini dia bercadang bercuti ke luar negara.

Menurut Jehan, dia ingin mengambil kesempatan itu untuk berehat dan melapangkan minda buat seketika sebelum kembali sibuk dengan aktiviti seni.

“Sejak tahun lalu, saya bekerja tanpa henti kerana terlibat dengan pelbagai projek sama ada lakonan mahupun pengacaraan.

“Malah, pada Ramadan lalu pun saya perlu menjalani penggambaran telemovie berjudul ‘Fendi Ranggi’ dan sebuah filem pendek,” katanya yang baru pulang dari Korea pada 1 Ramadan untuk rakaman Astro Hits Kpop Talent Show.

Negara gajah putih, Thailand menjadi pilihan Jehan untuk bercuti bersama rakan-rakannya pada hari raya ketiga yang lalu.

“Pada asalnya saya bercadang ingin bercuti di Singapura untuk melawat Universal Studio, tetapi tidak jadi kerana memikirkan tentu ramai orang yang ingin ke sana.

“Jadi, saya memilih Thailand,” katanya yang mengambil cuti hari raya selama seminggu.

Jehan berkata, bercuti di luar negara di saat masyarakat masih diselubungi ‘mood’ beraya bukanlah masalah baginya.

“Sebelum ini pun saya pernah merasai pengalaman berhari raya di Amerika Syarikat (AS) menemani adik saya yang menuntut di sana.

“Lagipun, saya masih sempat beraya dengan keluarga di Kuala Lumpur dengan keluarga pada raya pertama dan kedua,” katanya.

Sebaik sahaja tamat cuti, Jehan berkata, dia akan terus ke set penggambaran filem arahan Roslan Hussein, Prince of The City yang menampilkannya sebagai watak utama.

Dalam pada itu, Jehan sempat berkongsi juadah kegemarannya sempena Aidilfitri iaitu asam laksa dan kurma daging.

“Mungkin agak janggal bagi orang lain makan asam laksa di pagi raya, tetapi asam laksa yang dimasak emak saya sudah menjadi hidangan wajib bagi keluarga saya.

“Selain itu, saya memang tertunggu-tunggu daging kurma istimewa hasil tangan ibu saudara kerana rasanya yang lebih ‘kekampungan’ sungguh menyelerakan,” katanya sambil membayangkan keenakan kedua-dua juadah itu.



Afiq tolong emak buat kuih tat

Sementara itu, Afiq yang dicungkil bakatnya menerusi Malaysian Manhunt 2010 pula ada kisah tersendiri di hari raya yang tidak kurang menariknya.

Jangan tidak tahu, di sebalik wajah tampan kacukan Melayu-Pakistan ini, Afiq sebenarnya seorang yang ringan tulang membantu ibunya memasak di dapur.

“Saya memang suka sangat makan kuih tat nanas yang dibuat sendiri oleh ummi, khas untuk keluarga dan saudara mara yang datang bertandang.

“Tetapi, saya bukan hanya tahu makan saja, setiap kali menjelang Aidilfitri saya pasti membantu ummi membuat kuih tat nanas,” kata anak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang, Kelantan ini.

Menjelang Aidilfitri dia berasa teruja kerana pertama kali beraya sebagai artis pada tahun ini.
Bagaimanapun, perubahan status yang membuatkan dirinya semakin dikenali tidak membawa terlalu banyak perbezaan berbanding sambutan Aidilfitri tahun lalu.

“Saya masih lagi membeli barang keperluan raya seperti biskut raya dan baju raya untuk diri sendiri dan keluarga seperti biasa.

“Untuk tujuan itu, saya hanya memperuntukkan kira-kira RM1,000 saja termasuklah bajet untuk duit raya yang akan diberi kepada anak-anak saudara,” kata anak kedua dari empat adik-beradik ini.

Menurut Afiq, dia dan keluarga hanya berhari raya di Kuala Lumpur dan sudah tidak pulang ke Kelantan memandangkan nenek dan datuknya sudah meninggal dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: