
Zaiton, Mak Mah, Kuswadinata, Neng Yatimah dan Momok Latif kongsi cerita
Setahun sekali hari gemilang,
Setelah berpuasa selama sebulan,
Aidilfitri bakal menjelang,
Artis lama di lupa jangan,
Setiap kali lebaran, kanak-kanak adalah golongan yang paling gembira. Warna-warni baju raya dan keriuhan mereka membuatkan lebaran memecah sunyi.
Tidak ketinggalan selebriti tempatan yang juga meriah dengan pelbagai persediaan dan sambutan. Namun, tiada yang lama tiada juga kemunculan yang baru.
Artis veteran yang menjadi tunggak kejayaan filem era 50an, 60an dan 70an sememangnya punya cerita tersendiri mengenai kenangan dan sambutan lebaran. Pelbagai kisah lucu yang dikongsi bersama.
Melawat kawan-kawan: Zaiton
Wajahnya manis seali. Zaiton Ahmad mencipta nama sebaik berlakon menjadi pasangan kepada S Shamsuddin menerusi filem Bujang Lapok. Kemudian pelakon ini terus mengorak langkah sebagai pelakon yang berjaya.
Mengimbau kenangan beraya pada ketika zaman kegemilangannya itu, aktres ini mengakui suka melawat rakan-rakan pelakon yang tinggal di berek.
“Waktu itu saya tinggal di rumah keluarga di Singapura. Jadi, apabila waktu Aidilfitri biasanya kami semua akan bercuti. Tapi, selepas seminggu, saya akan melawat kawan-kawan yang tinggal di berek.
“Macam biasa, saya akan bawa juadah untuk dirai bersama mereka. Sambil makan sambil berborak. Ada sahaja senda gurau kami waktu itu. Apatah lagi, saya jarang dapat mengunjungi mereka.
“Kami akan duduk di satu bahagian dan kami makan juadah masing-masing. Menu yang saya bawa macam biasalah rendang dan ketupat. Itu sudah jadi kewajipan setiap kali menjelang Syawal.
“Memang seronok dapat berkumpul ramai-ramai dan melupakan seketika mengenai kerja. Kami sangat gembira. Itulah kenangan indah buat saya apabila menjelang Syawal.
“Juadah juga ada pelbagai rupa dan rasa. Ramai antara mereka yang bergotong-royong menyediakan juadah. Walaupun saya tinggal berjauhan, tapi kami tetap rapat seperti adik-beradik,” katanya.
Konvoi beramai-ramai: Ruminah Sidek
Pelakon Ruminah Sidek atau lebih mesra dengan panggilan Mak Mah ini juga punya cerita menarik kenangan Aidilfitri suatu ketika dulu.
Pelakon yang pernah muncul dalam filem Anak Bapak ini seronok apabila kisah berkonvoi beramai-ramai menziarahi rakan dan taulan.
“Itu antara kenangan paling seronok buat saya. Kami berkumpul seawal pagi dan mula bergerak ke rumah kawan-kawan.
“Bukan satu dua kereta tetapi rasanya lebih daripada 10 kereta. Siapa yang tak ada kereta, tumpang kawan-kawanlah.
“Ada juga antara kami yang sanggup menyewa kereta kerana tidak mahu ketinggalan.
“Kami seronok dapat berjumpa kawan-kawan di rumah dan berkenalan dengan keluarga mereka.
“Aktiviti ini akan berterusan hingga ke malam dan pernah kami sambung hingga dua tiga hari,” katanya mengimbau kenangan lalu.
Tambahnya lagi, selain seronok beraya dengan rakan-rakan artis, Mak Mah juga seronok menyambut lebaran dengan keluarganya.
“Saya pernah berkahwin sebanyak tiga kali. Semua ada kenangan tersendiri. Saya juga ada ramai anak dan anak tiri.
“Bila keluarga besar macam ini, bukan sahaja macam-macam ragam malah juadah juga pelbagai.
“Itulah keunikan yang saya rasakan dan perayaan ini meninggalkan seribu satu erti buat diri saya,” katanya.
Kuswadinata
Pelakon Kuswadinata juga tidak kurang banyaknya kenangan menyambut lebaran. Bagi Abang Kus ini, menjelang Syawal merupakan detik kenangan yang harus diraikan.
Kuswadinata berkata, dia berjiran dengan Datuk Aziz Satar.
Menurutnya, sambutan hari raya mereka memang meriah, alaupun pada awal raya semua sibuk dengan agenda tersendiri, tetapi masuk minggu kedua keceriaan kembali bersama mereka.
“Kami dapat berkongsi kisah lama ketika zaman kami bujang dahulu. Orang bujang beraya senang sahaja.
“Baju sepasang dan tak fikir mengenai biskut raya atau juadah lain. Apa yang orang kasi kami makan sahaja. Hidup perantau begitulah," katanya.
Kuswadinata berkata, mereka lebih suka pergi beraya ke rumah kawan-kawan yang sudah bekeluarga atau ada perempuan kerana pelbagai juadah hari raya disediakan.
“Kenangan itu saya ingat sampai bila-bila. Zaman dulu mercun dan bunga api tak sebahaya sekarang. Tak ada orang cedera main mercun.
“Semua main untuk seronok-seronok, bukan niat nak berlawan atau menunjuk-nunjuk.
“Suasana pada hari raya juga sangat meriah. Semua berkumpul dan bermaaf-maafan sesama sendiri. Paling penting, gotong-royong malam raya.
“Ada yang pergi cari buluh, kayu api dan sediakan juadah. Semua kenangan itu amat indah bagi saya,” katanya.
Masak lodeh, ketupat penyeri lebaran: Momok Latif
Kenal dengan wajah ini? Memegang watak sebagai ibu kepada Ros dan isteri kepada Wak Mustar menerusi filem Pendekar Bujang Lapok, Momok Latif sebenarnya lebih popular sebagai penyanyi.
Namun lakonan berkesannya menerusi filem tersebut, sekali gus melonjakkan namanya. Pelakon ini juga sebenarnya punya kenangan indah ketika menyambut hari lebaran.
“Kalau tanya mengenai sambutan dulu-dulu, terlalu banyak yang indah. Tapi sebenarnya meraikan lebaran bersama keluarga dan anak-anak adalah perkara yang paling bermakna buat saya.
“Pada usia saya sekarang ini, saya tidak lagi dapat menyediakan juadah dan persiapan untuk anak dan cucu.
“Semuanya mereka yang lakukan. Saya hanya dapat lihat sahaja.
“Teringin hati ini nak membantu, tapi apakan daya, saya sudah tidak larat untuk berdiri lebih lama,” kata pelakon yang kini menginjak usia 89 tahun.
Katanya lagi, seperti biasa, menu wajib untuk hari raya adalah ketupat dan masak lodeh.
“Menu wajib untuknya itu bukan sahaja dihidangkan kepada keluarga, malah pernah menjadi kegemaran pelakon veteran lain yang pernah menghuni berek yang disediakan.
“Kami berkumpul dan masak bersama-sama itulah kenangan buat saya. Kami gembira bersama dan menikmati cuti hari raya dengan begitu seronok sekali.
“Mana tidaknya, kami bertukar-tukar cerita dan semua memori itu akan saya kenang hingga ke akhir hayat saya,” katanya.
Teringat arwah anak: Neng Yatimah
Pada era 50an, Neng Yatimah sering disebut-sebut ramai sebagai pelakon air mata terbaik. Berilah apa sahaja watak sedih kepadanya, pasti tidak pernah menghampakan.
Air matanya bercucuran tanda begitu memahami watak. Namun, air mata itu bukan sekadar di dalam lakonan, malah Neng Yatimah sebenarnya seorang yang sangat mudah tersentuh.
Kehadiran lebaran pasti memberi kenangan sedih buat dirinya. Kehilangan anak kesayangannya Allahyarham pelakon Roseyatimah sekitar 20 tahun lalu memberi impak terhadap dirinya.
"Saya amat rindukan dia. Dia anak yang rapat dengan saya. Setiap kali beraya, saya akan sedih mengingatkan dia. Dulu, dialah yang selalu menceriakan suasana. Tambahan dia dan suaminya Datuk Mustapha Maarof tidak pernah lupa pada saya. Ada sahaja juadah yang dihidangkan buat keluarga.
"Sehingga kini, saya masih dan akan terus rindukan dia. Kadang-kadang melihat kembali filem lama yang diulang semula, hati saya rasa sayu.
"Hari raya memang untuk bergembira, tapi saya sendiri terlalu sedih. Saya pun tidak sihat sangat. Selalu sakit-sakit," katanya.
Mengimbau saat mudanya, Neng Yatimah berkata, sebagai orang lama, suasana menyambut lebaran sangat berbeza.
"Dulu, kalau masak atau buat biskut raya mesti beri pada jiran sedikit. Kita akan saling bertukar hidangan. Kerana biskut atau kuih akan bertambah.
"Macam itu juga di pagi raya, saya dan jiran akan sentiasa mengamalkan perkara ini. Secara tak langsung boleh mengeratkan hubungan sesama jiran," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: