Saturday, September 24, 2011

Kelainan koleksi Marks & Spencer


KOLEKSI Mark & Spencer ini dipelbagaikan dengan warna, fabrik, cetakan dan penampilan serba baru.


KATE Bostock selaku pengarah eksekutif bahagian pakaian untuk Marks & Spencer menyakinkan peminat jenama tersebut bahawa koleksi mereka kali ini pasti memberi kelainan untuk wanita.

"Penampilan yang kembali elegan, sofistikated dan mengikut perkembangan semasa adalah jaminan kami untuk koleksi musim salji dan luruh bagi tahun 2011 ini," ujar Bostock penuh optimis menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Mempertaruhkan janji tersebut, Bostock juga memberitahu koleksi wanita Mark & Spencer tersebut dipelbagaikan dengan warna, fabrik, cetakan dan penampilan serba baru yang pastinya akan memenuhi cita rasa setiap wanita.

"Warna menjadi mesej utama untuk musim ini, dengan penggunaan warna terang yang diselang seli dengan warna natural. Warna merah, keemasan dan kehijauan ditambah dengan penggunaan warna jingga dan biru merupakan kombinasi yang mempunyai impak baik untuk pakaian luar wanita khususnya.

"Koleksi kali ini juga tidak mengenepikan unsur vintage yang diekstrak daripada koleksi tahun 40-an, 60-an dan 70-an. Yang pasti, kali ini Marks & Spencer menggunakan elemen tersebut dan ia ditambah pula dengan perincian fabrik terkini, sekali gus selesa dipakai, selain jahitan yang bertekstur," jelasnya.

Menerusi koleksi yang diberi nama Historical Romance, Marks & Spencer merujuk kepada zaman Edwardian iaitu di mana ketika gothic begitu popular dan glamor. Menerusi koleksi ini, potongan leher tinggi dan penggunaan fabrik renda amat sesuai dipakai pada tubuh yang langsing dan menawan. Boleh dikatakan koleksi Historical Romance ini memberikan mood sensual kepada si pemakainya.

Koleksi yang diberi nama Luxe Craft pula merujuk kepada konsep Navajo, penampilan ini lebih menumpukan kepada lapisan pakaian seperti blaus, jaket dan kain labuh. Amat sesuai dipakai ketika musim sejuk.

Bagi yang mahukan keriangan tema 60-an, skirt pendek berwarna merah terang yang dijahit sekuin pasti memberikan anda penampilan dari hujung rambut ke hujung kaki yang menawan.

Konsep maskulin dan feminin juga terdapat di Marks & Spencer yang mana ia diterjemahkan menerusi potongan pakaian ala tuxedo yang menggunakan fabrik kulit untuk penampilan yang lebih seksi dan berkeyakinan.

Jika mahukan gaya retro yang glamor, fesyen inspirasi dari tahun 40-an ini pasti memenuhi cita rasa anda. Gaun berpotongan midi dan kot maksi dizahirkan atas fabrik bercorak kontemporari. Untuk konsep ini, warna memainkan peranan utama yang memberikan unsur elegan pada penampilan anda.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: