Saturday, September 24, 2011

Menjejak buaya Sungai Kinabatangan


MARK Rampangajouw menunjukkan sesuatu ketika membawa wakil media melihat habitat buaya di Sungai Kinabatangan berhampiran Danau Girang.


APA pendapat anda mengenai buaya? Sebagai orang biasa mungkin kita beranggapan reptilia itu adalah haiwan yang ganas dan kerjanya hanya menyerang manusia.

Bagi pengkaji reptilia itu pula, buaya dikatakan sebagai haiwan yang pemalu, lebih banyak menyendiri dan menjauhkan diri daripada manusia.

Dikatakan, ia hanya akan menyerang sekiranya tempat tinggalnya diceroboh. Ia dilakukan dalam usaha untuk mempertahankan diri daripada keadaan merbahaya.

Kesempatan meninjau hibatat monyet Belanda atau Proboscis atas tajaan dana Yayasan Sime Darby (YSD) di Danau Girang, Kinabatangan, Sabah baru-baru ini turut, memberikan pengalaman baru apabila peluang itu turut digunakan untuk menjejak habitat buaya yang dikatakan ganas dan merbahaya itu.

Sungai Kinabatangan, sepanjang 560 kilometer itu merupakan sungai kedua terpanjang di negara ini. Ia mengalir dari kawasan pergunungan di barat daya Sabah ke Laut Sulu di sebelah timur.

Keterujaan untuk melihat habitat haiwan liar itu secara dekat tertunai apabila Pengurus Pusat Penyelidikan Danau Girang, Mark Rampangajouw, bersetuju untuk membawa wakil media melihat dan menjejak haiwan pemangsa berkenaan dengan menaiki bot pada awal pagi.

Mark hanya bersenjatakan parang di sepanjang ekspedisi menjejak habitat haiwan itu selama dua jam, di sungai itu, sekitar Danau Girang.

Dapat dilihat air sungai yang mengalir tenang, luas dan lebar, kedalaman yang cukup, airnya berwarna kuning likat sehinggakan tidak nampak apa yang ada di dalam air.

Di sepanjang perjalanan hanya kelihatan kelibat bongkah-bongkah kayu mati berwarna hitam yang hanyut bersama arus. Sesekali otak berimaginasi, apakah bongkah-bongkah itu mata buaya yang dicari-cari merenung tajam ke arah bot.

Namun apabila semakin dihampiri, hanya bongkah kayu yang terlihat dan nafas lega dihembuskan.

Setelah hampir setengah jam di dalam bot, hati rasa sudah tidak sabar. Panas semakin mencengkam, peluh semakin membasahi baju namun kelibat buaya yang mahu ‘bersantai’ di tebing masih tidak kelihatan.

Namun perjalanan tetap diteruskan. Sesekali Mark memberhenti atau memperlahankan bot dan enjin pengangkutan itu dalam usaha untuk tidak menakutkan haiwan berkenaan ketika berada di suak dan kuala di sepanjang Danau Girang.

Tiba-tiba muncul pertanyaan: “En. Mark, mana buayanya?”

‘‘Sabar,” katanya. Sebentar kemudian dia menunjukkan kepada buih-buih yang berada di hadapan bot kami.

‘‘Lihat itu buih-buih yang berada di hadapan kita. Cuba lihat bentuknya yang memanjang dan menghilang kemudian ada lagi. Itulah buaya.

‘‘Sebenarnya haiwan ini mengekori kita dari tadi tapi dia malu nak menonjolkan diri,” jelasnya dengan nada bergurau.

Apabila ditanya adakah buaya itu berada berdekatan, jawabnya: “Sebenarnya ia berada di bawah bot ini.” Dia memberi arahan agar sesiapa tidak menjulur atau memasukkan tangan ke dalam air sungai.

Kata-katanya itu sedikit-sebanyak mendebarkan hati.

Beberapa minit kemudian, Mark menunjukkan sesuatu di atas tebing di darat. Kelihatan seekor buaya sedang bersantai. Hanya sekilas, sebelum ia hilang ke dalam sungai. Amat pantas. Nasib baik pergerakannya dapat dirakam oleh lensa kamera.

Setelah memberhentikan bot seketika, Mark meneruskan perjalanan. Katanya, di Danau Girang, seekor buaya telah ditandakan dalam usaha untuk melakukan kajian oleh Pusat Penyelidikan Danau Girang.

‘‘Setakat ini terdapat 80 ekor buaya yang dikesan di sepanjang laluan ini dengan empat atau lima ekor daripadanya bersaiz 15 kaki panjang dengan seberat 500 kilogram.

‘‘Menurut pengkaji buaya tradisional, sungai yang kecil mengandungi banyak buaya manakala sungai yang besar kurang buaya.

“Buaya keluar pada pukul 7.45 hingga pukul 9.30 pagi berjemur sambil menunggu makanan seperti monyet yang jatuh dari pokok mahupun burung-burung yang berlegar di tebing,” jelasnya yang memberitahu buaya di situ memakan ikan dan udang yang banyak terdapat di dalam sungai.

Apabila ditanya mengenai kes-kes yang melibatkan serangan buaya di sungai itu, Mark berkata, serangan buaya terhadap manusia melibatkan kes mangsa yang ditarik ke dalam sungai untuk dilemaskan dan bukannya dimakan.

‘‘Kebanyakan mangsa ialah penangkap ikan dan penanam kelapa sawit yang tidak dijangka turun ke kawasan suak atau sarang buaya, diserang dan kemudian dilemaskan.

“Di Sungai Tekala (anak sungai Kinabatangan) sendiri dua orang telah menjadi mangsa dilemaskan buaya beberapa tahun lalu.

“Kita difahamkam dari Disember 2006 sehingga sekarang direkodkan enam kematian melibatkan serangan buaya terhadap pekerja kelapa sawit,” jelasnya sambil menambah sungai yang semakin mengecil dan cetek terdapat buaya berbanding sungai yang dalam.

Menurut Mark, anak buaya adalah sebesar 12 inci, malah semakin besar buaya itu semakin sukar untuk ia dilihat. Katanya, yang paling ganas adalah buaya betina apabila telurnya sedang menetas.

Biasanya manusia hanya dapat melihat kepala dan mata buaya sahaja sedangkan separuh daripada ekor dan badannya tenggelam di dalam air.

Dalam pada itu Mark menambah, kajian yang akan dijalankan terhadap buaya di sungai berkenaan antara lain ialah memantau pergerakan haiwan itu, lihat apa yang terkandung di dalam perutnya untuk mengetahui apa yang dimakan dan dietnya, kenapa dan apa yang dilakukannya untuk memburu.

‘‘Kita juga akan mengkaji kenapa berlaku banyak serangan buaya. Apa sebabnya? Adakah kerana ia disebabkan pencemaran sungai itu yang menyebabkan tiada makanan? Kita juga mengkaji struktur tingkah laku yang akan dikaitkan dengan kejadian serangan. Daripada sini kita boleh jalankan usaha sama dengan Perhilitan untuk mengenal pasti dan mencari permasalahan buaya ini,” ujarnya.

Jelas Mark, penyelidikan itu akan dimulakan di Kinabatangan dahulu sebelum mekanisme yang sama dilakukan kepada sungai-sungai besar lain di Sabah.

Hasil kajian itu dapat dimanfaatkan kepada semua pihak khususnya bagi memahami sifat dan tingkah laku haiwan itu dan mengapa terdapat banyak serangan buaya di sesuatu tempat.

‘‘Pihak Pusat Penyelidikan Danau Girang telah menerima seorang penuntut dari Universiti Cardiff, United Kingdom bernama Lukeevans, yang mahu menjalankan kajian terhadap haiwan ini bagi menamatkan pengajiannya dalam Ijazah falsafah dalam Bioscience,” katanya apabila bot kami selamat kembali ke jeti Danau Girang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: