BAGI mereka yang memakai cermin mata pasti teringin bergaya tanpa kaca mata pada hari raya ini. Sudah tentu inilah masa yang paling sesuai untuk mencuba menggunakan kanta lekap.
Namun sekiranya anda sudah lama mempertimbangkan untuk menggunakan kanta lekap sebaiknya mengambil kira keselesaan sebagai aspek utama
Dengan perkembangan teknologi dan permintaan pengguna, kanta lekap telah melalui evolusi.
Bermula dengan kanta perspektif keras yang tidak selesa dan hanya boleh dipakai untuk beberapa jam sahaja, kini ia lembut, licin, boleh 'bernafas' dan boleh dipakai sepanjang hari.
Pengurus Besar Johnson & Johnson Vision Care, Asia Tenggara, Stanford Guo berkata, pihaknya turut mengadakan kaji selidik untuk mengenal pasti keperluan penggunaan kanta lekap di kalangan pengguna kaca mata di Malaysia.
"Kajian yang kami buat menunjukkan bahawa enam daripada 10 pemakai kaca mata mempertimbangkan untuk memakai kanta sentuh," ujarnya pada majlis pelancaran Acuvue Advance Plus di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, kebanyakan pengguna kini mula sedar akan kebaikan memakai kanta lekap.
Maklumat yang diperoleh daripada kajian tersebut turut membuktikan bahawa pemakaian kanta lekap membuatkan individu itu terasa lebih bebas dan lebih berupaya.
Mereka juga bebas melakukan apa jua aktiviti tanpa sebarang halangan.
Bagaimanapun berdasarkan kajian yang sama, mereka yang memakai cermin mata sepenuhnya masih merupakan majoriti iaitu 57 peratus.
Manakala yang berselang seli menggunakan cermin mata dan kanta lekap pula adalah sebanyak 38 peratus dan hanya lima peratus sahaja yang menggunakan kanta lekap sepenuhnya.
"Daripada hasil kaji selidik yang dibuat kami mendapati bahawa golongan yang sepenuhnya memakai cermin mata ini, tidak mahu mencuba memakai kanta lekap kerana mempunyai perasaan bimbang dan takut berasa tidak selesa selepas menggunakannya," ujarnya.
Menurut Guo lagi, kanta lekap dua minggu Acuvue Advance Plus yang telah dipertingkatkan dengan Hydraclear itu telah direka khas untuk mengatasi kegusaran mereka yang ingin mencuba memakai kanta lekap untuk kali pertama.
"Kanta lekap ini mempunyai ciri 3D comfort yang mengoptimumkan keselesaan dalam tiga dimensi bagi pengguna baru dari hari pertama hinggalah hari ke-14, sepanjang hari," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: