MELIHAT anak kecil ini bermain, pasti siapa pun tidak menyangka bahawa dia dilahirkan dengan keadaan yang cukup istimewa.
Dia pantas berlari ke sana sini, melompat, memanjat, terjatuh dan bangun semula. Itulah warna-warni kehidupan seharian Fahry Al-Hazim, yang berusia hampir tiga tahun ini.
Bagi ibunya, Siti Nurazlina Noh, 29, Fahry adalah anugerah teristimewa pernah dimilikinya. Tidak pernah rasa kesal atau terbeban dengan kelahiran anak keduanya itu, dia dan suami, Zainul Anuar reda dengan takdir yang ditentukan Ilahi.
"Fahry dilahirkan tidak cukup bulan iaitu pada usia 28 minggu. Ketika itu saya berkerja di Miri dan sering berulang-alik ke Kuala Lumpur bertemu suami dan anak sulung. Mungkin kerana kesibukan kerja menyebabkan Fahry dilahirkan tidak cukup bulan," kata ibu muda tabah itu.
Menurutnya, dia tidak mengalami sebarang komplikasi ketika mengandung malah doktor juga mengesahkan janin yang dikandungkannya sihat dan membesar sempurna.
Namun kuasa Tuhan siapa yang mampu menghalang. Ketika kali pertama diberitahu anak yang dilahirkan tidak normal, Siti Nurazlina seakan sukar mempercayai. Hanya Allah yang tahu perasaan sedih ketika itu. Walaubagaimanapun, tatkala terpandang wajah comel Fahry, hati Siti Nurazlina terus terpikat. Pada pandangannya, anak kecil itu sempurna sifat dan di saat itu dia bertekad ingin melihat Fahry membesar seperti juga abangnya, Hafiy Al-Fateh.
Luar biasa
Menurut doktor, Fahry mengalami sindrom bebenang amniotik (ABS) di mana kaki kanannya tidak dapat membentuk sempurna menyebabkan terdapat lebihan daging terkulai sehingga menampakkan bahagian tulang. Selain itu anak kecil itu juga mengalami masalah pada bahagian jari kirinya yang tidak terbentuk sempurna.
"Ketika dilahirkan, beratnya cuma 1.2 kilogram. Memang terlalu kecil, namun saya dapat lihat kekuatan anak kecil ini luar biasa sekali. Setiap hari berat badannya bertambah dan dia menunjukkan perkembangan positif hingga menyebabkan dia boleh pulang awal ke rumah," katanya.
Pada mulanya kata Siti Nurazlina, doktor ingin melakukan pembedahan bagi membuang lebihan daging pada kaki Fahry namun ditangguhkan kerana dia terlalu kecil. Namun dengan takdir-Nya, kaki itu tertanggal sendiri.
Sejak itu, Siti Nurazlina dan suami tidak berputus asa membesarkan Fahry sama seperti abang sulungnya yang berusia lima tahun.
Menurutnya, Fahry dilayan sama rata dan mereka tidak memberi perhatian yang berlebihan kepada anak itu. Malah Fahry lebih berdikari, aktif dan lasak jika dibandingkan dengan abangnya. Pada usia enam bulan dia sudah boleh duduk walaupun kadangkala sukar mengimbangi tubuhnya. Malah pada usia lapan bulan dia mampu merangkak.
Bagi membantu pergerakan anak kecil itu, mereka menempah kaki palsu khas Fahri ketika dia berusia sembilan bulan. Sejak itu, pergerakan Fahry semakin laju dan tidak hairan ada yang tidak sedar anak comel itu sebenarnya seorang anak istimewa.
Fahry, kata Siti Nurazlina menjadi semakin matang dengan kelahiran adiknya, Danny Al-Firash lima bulan lalu. Guru-guru di taska turut mengakui Fahry mendahului rakan-rakan seusianya dalam banyak hal.
Walaupun sering terlintas di fikiran dengan nasib anak itu bila dewasa kelak, namun Siti Nurazlina dan suami tetap yakin dengan kemampuan Fahry yang selama ini langsung tidak pernah menimbulkan sebarang masalah.
"Sekurang-kurangnya dengan kelahiran Fahry, kami dapat merasa bagaimana membesarkan anak istimewa. Apalah sangat yang dialami oleh anak ini jika dibandingkan dengan mereka yang diuji lebih teruk lagi, ini menambahkan lagi ketakwaan kami kepada Allah SWT," katanya.
Dengan kelahiran anak comel itu juga katanya memberi semangat kepada insan lain yang sering merasa rendah diri walaupun mereka dilahirkan sempurna sifat.
"Ada kawan-kawan saya yang rasa risau bila anak mereka lambat berjalan atau bercakap. Tapi bila mereka lihat Fahry yang dilahirkan istimewa namun mampu melakukan apa yang orang lain lakukan, mereka terus rasa bersyukur," katanya sambil tersenyum.
Selain itu kata Siti Nurazlina, kelahiran Fahry juga menjadikan dia dan suami lebih berusaha mencari rezeki lagi bagi menampung keperluan perubatan anak comel itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: