AIDILFITRI tahun ini membawa pengertian besar kepada seluruh rakyat Malaysia kerana disambut serentak dengan hari kemerdekaan.
Namun, senario yang dapat kita lihat hari ini warga kota seolah-olah lebih teruja menyambut ketibaan Aidilfitri.
Pusat membeli-belah dimeriahkan dengan jualan murah sambil lagu raya yang berkumandang sepanjang masa.
Mereka yang bakal menyambut lebaran pula kebanyakannya sibuk dengan persiapan raya sehingga terlupa untuk mengibarkan Jalur Gemilang seperti yang biasa dilakukan.
Menyedari sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos ini tidak sehangat tahun-tahun biasa kerana tumpuan lebih diberikan terhadap Aidilfitri, Kelab Lions Damansara Metro mengambil inisiatif menyedarkan orang ramai agar tidak meminggirkan ulang tahun kemerdekaan negara ke-54 pada tahun ini.
“Sambutan dwi-perayaan seperti ini jarang-jarang berlaku. Seharusnya rakyat Malaysia menyambut kedua-duanya dengan cara paling meriah dan penuh penghayatan,” kata Presiden Kelab Lions Damansara Metro, Alan Thoo kepada Mingguan mStar.
Membuktikan masih terdapat rakyat Malaysia yang bersemangat menyambut ketibaan merdeka, ahli-ahli kelab ini, bersama beberapa selebriti telah berkumpul di Dataran Merdeka sambil mengedarkan Jalur Gemilang kepada warga kota.
“Kami mahu ajak seluruh warga kota mengingati hari merdeka tahun ini yang jatuh pada hari raya kedua.
“Memiliki dan mengibarkan Jalur Gemilang pada ulang tahun kemerdekaan akan mencetuskan semangat patriotisme luar biasa kepada setiap rakyat Malaysia,” kata Alan.
Menurut Alan, Dataran Merdeka menjadi lokasi pilihan kerana lokasi itu amat sinonim dengan sejarah kemerdekaan negara.
“Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad amat bermakna buat Malaysia dan seluruh rakyat. Selain melambangkan kemerdekaan, ia juga menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi yang aman,” jelasnya.
Pada hari tersebut, kira-kira 200 Jalur Gemilang pelbagai saiz telah diberikan kepada orang ramai, termasuklah kepada pelancong asing.
Remaja dan merdeka
Ahli kelab ini yang rata-ratanya berumur 20 tahun ke atas berasa bertanggungjawab memupuk semangat cintakan negara kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama golongan remaja.
Justeru, aktiviti seperti ini dirasakan inisiatif terbaik bagi mencapai matlamat tersebut.
“Remaja terutamanya perlu cintakan negara supaya mereka dapat menghadapi sebarang bentuk cabaran dalam negara seperti krisis ekonomi dan sebagainya.
“Sebagai bakal pemimpin, semangat patriotisme adalah paling utama,” katanya.
Tambahnya, ibu bapa dan golongan dewasa juga berperanan memupuk kesedaran anak-anak, terutama ketika dwi-perayaan ini.
“Apabila berada di kampung bersama keluarga dan sanak-saudara, mungkin ibu bapa boleh mencuri sedikit masa memberitahu anak-anak mereka pentingnya sebuah negara merdeka,” kata Alan.
Jangan lupa hari bersejarah
Dataran Merdeka menjadi lebih meriah apabila selebriti, Zenny Salahuddin dan Duta Remaja Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) Azizi Zakaria turut sudi meluangkan masa menjayakan aktiviti selama dua jam ini.
Sambil mengedarkan Jalur Gemilang mereka mengambil peluang yang ada mengucapkan ‘Selamat Merdeka-Raya’ kepada orang awam.
Turut hadir, beberapa krew dari Ronda-Ronda Muzik FM.
Zenny yang akan menyambut Aidilfitri bersama keluarga di Kuala Lumpur berkata aktiviti seperti ini secara tidak langsung dapat menyedarkan dirinya sendiri dan masyarakat supaya cintakan negara.
“Saya percaya mesti ramai yang keliru mahu sambut merdeka atau raya. Tidak salah menyambut raya, tapi janganlah sampai lupa tentang merdeka dan jasa pemimpin negara yang bersusah-payah mendapatkan kemerdekaan untuk kesenangan kita hari ini,” katanya.
Sementara itu, Azizi pula menyifatkan sambutan merdeka-raya pada tahun ini sebagai sesuatu yang istimewa.
“Walaupun tiada perarakan seperti biasa, itu tidak patut dijadikan alasan untuk kita melupakan hari merdeka.
“Apa yang penting, setiap warganegara harus faham maksud merdeka, menghayatinya dan menghargainya pada hari ulang tahun kemerdekaan,” katanya yang akan beraya di Johor pada tahun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: