Sunday, September 4, 2011

Inspirasi Itali Milanohaus


SOFA kulit berbentuk L dan berwana putih dengan meja, sesuai digandingkan dengan meja kopi bulat dari material jubin dan besi.


RASANYA masih belum terlewat untuk menghias kediaman biar pun hari raya sudah berlalu. Usai beraya bersama keluarga di kampung, kini giliran warga kota pula bersiap menerima tetamu untuk rumah terbuka.

Tidak salah untuk mencari beberapa lagi perabot baru bagi dipadankan dengan hiasan sedia ada. Mungkin satu set sofa sebagai penyeri ruang tamu atau sekadar sofa berbentuk L yang lebih ringkas namun tetap menawan.

Sebagai pilihan, kunjungi Milanohaus dan Milano & Design (M&D) di Jalan Puchong-Bukit Jalil. Menawarkan lebih 80 rekaan sofa eksklusif inspirasi daripada Itali, ia mampu disesuaikan untuk jenis kediaman mengikut gred dan warna yang kesesuaian.

Menurut pengurus cawangan, Amber Chong, jenama M&D sebenarnya merupakan perusahaan keluarga di Itali yang sudah 60 tahun menerajui pembuatan sofa kulit melalui label Chateau d’Ax. Melalui pengalaman tersebut, tidak hairanlah rekaannya begitu sinonim dengan cita rasa lubuk fesyen yang cukup terkenal di seluruh dunia itu.

“Kami mempunyai dua kumpulan sofa kulit iaitu M&D yang mana materialnya diimport dari Itali manakala pemasangan dilakukan di Shanghai, China dan satu lagi, Milanohaus, juga material dari Itali tetapi pemasangan dibuat dalam negara,” katanya.

Menurutnya terdapat empat kategori pilihan kulit yang disediakan dan kebanyakan menggunakan kulit lembu yang diyakini lebih lembut dan tahan lasak. Penggunaan material jenis ini juga kata Amber, lebih mudah dibersihkan iaitu hanya dengan menggunakan sedikit air dan pencuci khas.

Perbezaan sofa M&D terletak pada struktur dalamannya yang diperbuat daripada lateks menjadikan ia lebih tahan lama dan tidak mudah tenggelam. Dengan merebahkan diri di atas sofa jenama ini, anda akan merasai perbezaan di mana ia melentur mengikut tubuh dan seakan memeluk kemas setiap inci badan.

Begitu juga dengan Milanohaus yang mempunyai lateks namun ditambah kerangka gelung untuk lebih kestabilan.

Kesemua sofa jenama M&D dan Milanohaus diberi jaminan enam tahun dan hari ini merupakan hari terakhir promosi premis ini sempena pembukaan cawangan Puchong yang baru dilancarkan Ahad lalu.

“Kami menawarkan potongan sehingga separuh harga dan setiap pembelian RM3,000, pembeli berpeluang melakukan putaran roda yang pasti menjanjikan hadiah-hadiah menarik,” kata beliau.

Antara hadiah istimewa yang dijanjikan adalah, bantal berkualiti, set cadar, lampu tidur, baucer tunai dan banyak lagi.

Set bilik tidur

Selain terkenal sebagai pembuat sofa berkualiti, Milanohaus turut menawarkan pilihan katil berkualiti melalui 13 jenama terkenal di seluruh dunia.

“Kami merupakan ahli Pusat Kelengkapan Bilik Tidur Jenama Antarabangsa Malaysia (MIBBC). Justeru dengan mengunjungi cawangan ini, anda boleh mendapat pilihan jenama katil berkualiti berserta informasi yang diperlukan,” katanya.

Melalui gabungan jenama itu, terdapat lebih 40 rekaan katil ditawarkan dengan pilihan pelbagai saiz dan material. Kata Amber, material yang digunakan dalam struktur katil adalah sabut kelapa, lateks, gelung, memory foam dan pelbagai lagi.

Tidak terhad kepada pilihan sofa dan kelengkapan bilik tidur, Milanohaus turut menawarkan pilihan meja makan eksklusif dengan tempat duduk kulit yang sungguh elegan. Sebagai pelengkap, beberapa jenis hiasan dalaman seperti kerusi bean bag, lampu, cermin, kertas dinding juga boleh didapati di situ.

Dengan binaan premis yang luas dan gaya susun atur perabot lebih eksklusif, mungkin dengan mengunjungi cawangan ini anda mendapat ilham untuk menghias kediaman bagi menyambut tetamu yang bertandang ke rumah terbuka nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: