
Ibu kepada Syifa Dhia Nurina, 4, ini menjalani tempoh berpantang untuk anak kedua, Mohamad Dhia Iskandar, secara pembedahan, pada 12 Julai lalu.
Menurut isteri kepada Ismadi Ismail, Ramadan tahun ini tidak dapat disempurnakan seperti tahun-tahun yang sebelumnya.
“Di awal tempoh berpantang, ibu saya yang jaga dan uruskan keperluan saya. Tapi, menjelang puasa, dia balik ke kampung.
“Sebelum itu, ibu saya dah ajar untuk melakukan segala keperluan sendiri. Jadi, tak lah kekok sangat nak sediakan makanan berpantang.
“Saya memilih untuk berpantang secara tradisional kerana ketika melahirkan Syifa dulu pun, kaedah ini saya gunakan seperti bertungku, mengurut dan pengambilan jamu,” katanya yang masih menyusukan anak kedua.
Menurut Anita, Iskandar dan Syifa tidak banyak perbezaan kerana sama-sama senang untuk diuruskan dan jarang meragam. Walaupun dia tidak dapat merasai nikmat berpuasa, namun Syawal tetap dirai dengan penuh gembira. Apatah lagi dengan kehadiran orang baru dalam keluarganya.
“Raya tahun ini saya sambut sederhana dan persiapan lebih kepada anak-anak. Baju raya dan kuih raya juga beli yang dah siap. Tahun lalu, kami beraya di kampung saya di Kedah, jadi tahun ini saya beraya di kampung suami, di Johor pula,” katanya.
Berkongsi tentang pengalamannya menyambut Ramadan dan Syawal, Anita berkata, pengalaman menjalani penggambaran drama Kau & Aku di Jakarta, dua tahun lalu, banyak memberikan kenangan berharga untuknya.
“Suasana berpuasa di sana dan negara kita sangat berlainan. Di Jakarta, mereka tidak meraikan Ramadan seperti kita dengan kemeriahan bazar Ramadan dan sebagainya.
“Untuk mendapatkan makanan pun susah sebab mereka tidak mempunyai makanan pelbagai seperti kita. Yang ada cuma nasi padang, pecel lele dan makanan rujinya.
“Awalnya, sukar bagi saya untuk menyesuaikan diri dengan suasana di Jakarta, tapi lama-kelamaan, tekak saya dah boleh terima makanan di sana,” katanya yang berada di sana lebih sebulan.
Katanya, selain kesukaran mendapatkan makanan, ketika itu, Jakarta dilanda gempa bumi yang kuat.
“Fobia juga untuk ke sana lagi namun saya rindu untuk ke sana. Banyak kenangan ketika mengunjunginya dulu.
“Kalau ada kesempatan, saya ingin ke sana lagi untuk bercuti, membeli-belah dan macam-macam lagi,” katanya yang bakal menetap di rumah sendiri yang terletak di uncak Perdana pada awal tahun depan.
Bercerita tentang anak-anaknya, kata Anita, dia lebih selesa menjaga anak sendiri tanpa bantuan pembantu rumah. Kata Anita, dia tidak yakin anak-anaknya dijaga dengan baik oleh pembantu atau pengasuh.
"Dengan macam-macam cerita yang saya dengar, saya tak berani nak ambil pembantu. Biarlah saya jaga anak sendiri. Lagipun saya nak rasa membesarkan mereka sendiri dan saya tak nak lepaskan detik-detik manis melihat mereka membesar.
"Jadi buat masa ini, saya akan kurangkan aktiviti seni, beri tumpuan lebih kepada anak-anak. Insya-ALLAH bila anak dah besar sikit, saya akan kembali aktif berlakon," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: