Sunday, September 4, 2011

Cerita raya Chef Sopi


Daging masak kicap merupakan antara hidangan istimewa yang disajikan di Restoran Ibunda, Kuala Lumpur.


BERTUGAS pada Hari Raya Aidilfitri merupakan perkara biasa bagi mereka yang bekerja dalam bidang masakan dan perhotelan termasuklah mereka yang bekerja sebagai chef.

Mahu atau tidak, sudah pasti hati tersentuh pilu apabila pada saat orang lain saling kunjung-mengunjungi pada hari raya, diri sendiri masih lagi melakukan tugasan seperti biasa.

Namun bagi Chef Eksekutif, Mohammad Sopi Lazim, hati yang sedih akibat tidak dapat bercuti raya segera terubat apabila menyambut pagi hari raya bersama rakan-rakan di tempat kerja.

Sebab itu, beliau tidak kisah jika bertugas pada hari raya demi menunaikan tanggungjawab kepada syarikat.

Beliau berkata, hari raya yang disambutnya bersama teman sekerja tetap meninggalkan kenangan indah kepadanya ketika bertugas di pagi raya walaupun kini beliau berkerja di tempat baru.

Hari raya bersama keluarga

lebih bermakna

Berasal dari Setiawan, Perak , Chef Sopi tidak lagi merasai kesyahduan bertugas pada hari raya terutama pada pagi raya pertama berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Biarpun mengakui hati sedikit sebanyak tercuit sayu apabila mendengar alunan takbir yang indah, perasaan itu segera dibuang jauh-jauh apabila sedang bekerja.

Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang masakan terutamanya masakan Melayu asli sepanjang berkhidmat selama 18 tahun di beberapa hotel sekitar utara tanah air dan Kuala Lumpur, tidak dapat melupai suasana hari raya apabila dia dan rakan-rakannya memakai baju Melayu dan baju kurung sambil berpakat membawa juadah seperti lemang, ketupat dan rendang ke tempat kerja.

"Tahun ini, saya bernasib baik kerana dapat bercuti pada hari raya kerana saya kini bertugas di restoran Ibunda di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

“Kalau dulu ketika berkerja di hotel susah nak dapat cuti tetapi di restoran kebanyakan warga kota pulang ke kampung maka kami pun mengambil peluang ini untuk menutup operasi selama seminggu," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, kepulangan pada hari raya akan digunakan sepuas-puasnya untuk menikmati juadah kegemaran seperti ketupat dan lemang.

Menurut Chef Sopi, tahun ini beliau akan pulang beraya di kampung halaman di Setiawan, Perak dan telah menjadi kebiasaan jika beliau pulang ke kampung segala juadah akan disediakan beliau.

"Selalunya bila saya pulang ke kampung, saya selalu masak untuk seluruh keluarga dengan dibantu oleh saudara mara yang lain dan dapur tempat kami memasak juga akan meriah seperti berada di dapur tempat saya bekerja.

"Saya rasa bidang masakan telah sebati dengan jiwa saya dan saya berkeyakinan dengan masakan saya," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: