Sunday, September 4, 2011

Menari bersama kanvas


Raja Azhar sedang menerangkan pergerakan lukisan yang dihasilkan berdasarkan pengalaman beliau dalam bidang seni tarian.


MENCALIT berus lukisan atas kanvas sambil diiringi bunyi muzik yang sesuai dengan langkah gerak tari perlahan dan pantas banyak mempengaruhi koleksi karya Memoir- The Dance Journey yang dihimpunkan oleh Raja Azhar Idris sejak 1985 hingga 2011.

Ketika melihat karya tersebut dalam pameran solonya baru-baru ini di Galeri Art Case, Great Eastern Mall, Ampang, ia cukup mempersonakan.

Bukan mudah seseorang pelukis menghasilkan lukisan berdasarkan gerak tari jika dia bukannya seorang penari yang boleh menghayati gerak-gerak tarian tradisional seperti Zapin, Inang, dan tarian Sufi yang terkenal di negara-negara Arab.

Menurut Raja Azhar yang terkenal dengan hasil kesenian arca yang diperbuat daripada bahan seramik atau kaca berwarna, pameran Memoir- The Dance Journey amat bermakna buatnya lebih-lebih lagi ia mengimbau kenangan lalu ketika menetap di Melbourne, Australia.

“Selepas menamatkan pengajian di Victorian College of the Arts, saya menyertai Australian Contemporary Dance Company yang dikelola oleh Ron Baker.

“Dari sana saya belajar menari dan kesemua lukisan ini juga dilukis berdasarkan pengalaman saya dalam bidang tarian dan kesenian,” katanya.

Mengimbau kenangan lalu

Beliau berkata, tahun ini merupakan tahun yang paling sesuai buatnya untuk mempamerkan buat pertama kalinya memori yang disimpan selepas 26 tahun.

“Sudah lama saya merancang untuk mengadakan pameran ini tetapi tertunda kerana banyak menghasilkan karya menggunakan kaca.

“Melukis dengan buat arca kaca amat berbeza. Kerja-kerja penghasilan arca banyak menggunakan teknik untuk membentuk dan melukis di atas kanvas memerlukan banyak teknik dan daya kreativiti.

“Walaupun kedua-dua medium itu tidak sama ia masih memberikan kepuasan kepada saya untuk menghasilkan karya-karya yang bertenaga,” jelasnya.

Bagi Raja Azhar, walau apa pun bahan kesenian yang dihasilkan dan digunakan, seniman tersebut perlu menghormatinya kerana secara tidak langsung ia mengajar mereka mengenai disiplin, kesabaran dan ketelitian.

“Bila saya fikir kembali, melukis atas kanvas membuatkan saya berzikir dan bersemangat ketika melukis karya seperti Sufi Mevlana Dance II-Zikir for Fadilah dan ketika melukis karya dalam siri Zapin pula, saya menari sambil melukis berdasarkan rentak lagu tersebut.

“Ketika lagu laju, saya pun ikut melukis dengan lebih pantas dan boleh dikatakan saya melukis mengikut irama dan tarian mengikut rentak lagu. Kalau lagu laju, strok saya makin laju,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: