Friday, September 16, 2011

Alleycats kembali ke Istana Budaya


DAVID ARUMUGAM mengepalai Konsert Sampaikan Salam Alleycats yang bakal berlangsung dari 16 hingga 18 September ini di Istana Budaya.


TIDAK dapat dinafikan, lagu-lagu dendangan kumpulan Alleycats tidak lapuk ditelan zaman, kerana sehingga ke hari ini mereka masih memiliki jumlah peminat yang ramai.

Pernah membuat persembahan di Istana Budaya pada tahun 2008 dan mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada peminat, tahun ini, Alleycats kembali ke Istana Budaya.

Vokalisnya, Datuk David Arumugam menyifatkan persembahan Alleycats di Istana Budaya kali ini merupakan satu penghormatan kepada kumpulannya.

“Bukan mudah untuk buat persembahan di Istana Budaya, ini pula buat kali kedua, jadi sebagai penyanyi saya rasa sungguh terharu,” ujarnya mengenai konsert yang mendapat sentuhan Eddie Marzuki sebagai pengarah muzik.

Persembahan yang diberi nama Konsert Sampaikan Salam Alleycats itu akan bermula pada 16 September sehingga 18 September dan sempena Hari Malaysia, kata David lagi, Alleycats menyediakan satu persembahan istimewa.

“Kebetulan persembahan bermula pada Hari Malaysia, jadi pada segmen pertama Alleycats akan berkolaborasi bersama dengan orkestra tradisional dan mendendangkan lagu patriotik.

“Segmen kedua pula merupakan tribute untuk mendiang adik saya, Loga dan segmen ketiga, saya akan mendendangkan lagu-lagu popular Alleycats,” kata David yang kini berusia 61 tahun.

Tambahnya lagi yang aktif menyanyi di sebuah kelab malam, Sparx, di Petaling Jaya, persembahannya kelak di Istana Budaya dijanjikan berbeza setiap malam.

“Memang kita sudah merancang, tetapi Alleycats ada 27 buah album dan beratus-ratus lagu, jadi akan menyanyikan semua lagu popular kami.

“Tetapi bukan bermakna setiap malam saya akan menyanyi lagu sama sahaja, ia pasti berbeza-beza. Kita lihat macam mana dengan sambutan dan saya akan menyesuaikan lagu dengan peminat yang datang,” tuturnya yang menyifatkan konsertnya kali ini lebih santai.

Sementara itu, istimewa buat peminat, anda akan mendapat 10 peratus diskaun, jika membeli tiket secara berkumpulan minimum 10 orang untuk satu pembelian dan pembelian itu boleh dibuat dengan menghubungi Ismail di talian 019-3262659.

Selain itu, peminat juga boleh mendapatkan tiket yang berharga bermula RM65 sehingga RM450 dengan melayari laman sesawang www.ticket2u.biz atau hubungi talian 03-41478600. Setiap pembelian tiket, RM5 akan disumbangkan kepada Majlis Kanser Nasional.

Bukan itu sahaja, buat peminat yang hadir ke konsert tersebut juga berpeluang memenangi cabutan bertuah yang akan dibuat setiap malam persembahan. Hadiahnya, bermalam selama enam hari di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: