Friday, September 16, 2011

Perginya permata hati Safura


ANTARA tetamu yang hadir pada malam tahlil Nur Aisyah Mariam pada awal minggu ini.


MASIH jelas terbayang di mata aktres dan penyanyi Safura Yaacob bagaimana keletah Nur Aisyah Mariam, tiga tahun, anak sulungnya hasil perkahwinannya dengan aktor Sharonizam Noor.

Suara Aishah meminta itu dan ini juga masih terngiang-ngiang di telinganya. Rengekan dan hilai tawanya menjadi penawar duka Safura sekeluarga.

Namun, kini semua itu hanya tinggal kenangan yang cukup perit untuknya apabila Mariam menghembuskan nafas terakhir pada Isnin lalu pada pukul 9 malam di Hospital Ampang Puteri kerana demam berpanjangan.

“Arwah demam panas dan batuk, saya ada bawa dia ke Hospital Ampang dan doktor kata demam biasa walaupun saya lihat nafasnya seperti terganggu.

“Selepas tiga hari iaitu pada hari Isnin, saya lihat keadaannya bertambah lemah, jadi saya hantar dia ke Hospital Ampang Puteri dalam pukul 10 pagi memandangkan dia ada rekod di sana sebelum ini.

“Bila sampai di sana, doktor kata keadaannya sudah teruk kerana disebabkan batuk dia diserang asma walaupun dia tidak ada sejarah penyakit asma. Doktor rawat dia, saya lihat keadaannya okey dan boleh minum susu seperti biasa.


ATAS: Safura (kiri, di samping aktres Lydiawati) reda dengan pemergian anak sulungnya, Mariam.


“Dalam tengah hari saya keluar sekejap kerana ada mesyuarat, saya tinggalkan dia dengan suami. Saya janji nak belikan biskut untuk dia tetapi tidak sempat,” cerita Safura dalam linangan air mata.

Bagaimanapun apabila Safura tiba di hospital kira-kira pukul 7 petang, anaknya berada dalam keadaan nazak dan telah dihantar ke Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU).

“Daripada sebalik tirai saya nampak dia meronta-ronta tapi dia nampak lemah sangat. Doktor kata, badannya telah menolak semua ubat yang dimasukkan sebelum itu. Dalam dua jam di CCU, dia telah meninggal dunia

“Saya reda dengan ketentuan Allah kerana Allah lebih menyayanginya, tetapi saya tidak tahu bagaimana untuk menyesuaikan diri tanpa arwah,” tuturnya lagi yang kini sedang sarat mengandung anak ketiga yang kini berusia lima bulan.

Luah Safura, meskipun anaknya telah meninggalkannya, sebagai ibu dia telah melakukan yang terbaik dan menuruti segala kehendak anaknya itu.

“Kami sempat menyambut hari jadinya pada 23 Ogos lalu, kami lakukan sambutan hari lahir serentak dengan suami yang lahir pada 24 Ogos di rumah opahnya di Gombak.

“Arwah mahukan kek warna merah jambu, saya buat sendiri kek cawan comel-comel bentuknya dan berwarna merah jambu seperti mana permintaan arwah. Alhamdulillah, segala permintaannya saya tunaikan,” tutur Safura ketika ditemui pada majlis tahlil di kediamannya di Tasek Tambahan Ampang, pada Selasa lalu.

Kata Safura ketika memberi ciuman terakhir kepada arwah anaknya, dia sempat berbisik kepada arwah, jika anak yang dikandungnya perempuan, dia akan memberi nama yang sama seperti nama arwah.

“Selepas jenazah disembahyangkan, saya menciumnya dan berbisik kepadanya, kalau bayi yang lahir adalah perempuan, saya akan letak nama yang sama seperti namanya,” ucapnya.

Suaminya Sharonizam Noor juga tidak dapat menahan sebak kerana arwah cukup manja dengannya.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk cakap keadaan kami sekarang, Mariam manja dengan saya kerana sepanjang bulan Ramadan saya lebih banyak berada di rumah.

“Jadi, saya yang uruskan segala kelengkapan hariannya. Sebelum arwah pergi, dia gelisah mungkin kerana badannya sakit, ada sahaja permintaannya, dan sebagai bapa saya ikutkan sahaja kerana dia dalam keadaan tidak sihat,” katanya.


TINGGAL kenangan. Safura dan Sharonizam bersama anak bongsu mereka, Yusoff dan arwah Mariam.


Bagaimanapun, Sharonizam sempat meluahkan perasaan terkilannya pada Hospital Ampang kerana gagal mengesan penyakit anaknya lebih awal.

“Saya tidak mahu ambil tindakan undang-undang, cuma saya akan buat aduan secara rasmi bukan untuk saya tetapi saya tidak mahu perkara yang sama terjadi kepada orang lain.

“Doktor kata demam biasa sahaja sedangkan ketika itu saya tanya berkali-kali pada doktor kerana saya lihat nafasnya terganggu. Tetapi siapalah saya mahu menidakkan pandangan doktor kerana mereka lebih arif. Cuma saya harap pihak hospital tidak mengulangi kesilapan yang sama,” ujarnya.

Jenazah arwah Nur Aisyah Mariam selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang.

Selain Mariam, Safura mempunyai seorang lagi anak bersama Sharonizam iaitu Yusoff Firdaus, setahun. Hasil perkahwinan Safura sebelum ini, dia dikurniakan dua anak, Nurul Natasha, 17, dan Muhammad Daniel Khaqim, 11.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: