Thursday, April 1, 2010

Umie mahu pakai tudung




SELEPAS sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, 47, pada 14 Mac lalu di Mekah, aktres terkenal Umie Aida mengaku ingin membuat perubahan pada penampilan dirinya secara perlahan-lahan iaitu dengan memakai tudung.

Katanya yang ditemui selepas majlis resepsi perkahwinannya berlangsung dengan penuh meriah di Hotel One World, Damansara, Ahad lalu, tindakannya yang dilakukan bukanlah atas paksaan suami atau sesiapa tetapi atas kerelaan sendiri.

"Saya akan siapkan semua kerja saya yang telah dijanjikan sebelum ini terlebih dahulu, kemudian saya akan latih diri dengan memakai selendang dalam masa terdekat.

"Langkah demi langkah. Saya pun telah minta izin suami, dia okey, malah gembira dengan keputusan saya. Selepas itu, InsyaAllah saya akan mengenakan tudung. Perkara yang baik harus disegerakan," ujarnya.

Tambahnya lagi, seiring dengan statusnya yang kini sudah menjadi isteri orang, dia juga tidak akan memakai pakaian yang menjolok mata lagi.

"Walaupun saya artis tetapi saya sedar saya sudah mempunyai suami. Ada beberapa perkara yang perlu diubah seperti pemakaian saya," tuturnya.

Meskipun akan mengenakan tudung pada masa hadapan, jelas Umie dia tidak akan sesekali mengangkat kaki daripada dunia seni. Cuma selepas ini, dia akan lebih selektif.

"Selagi bakat saya diperlukan, selagi itu saya akan berlakon. Suami juga tidak pernah menghalang untuk saya meneruskan kerjaya dalam bidang seni.


CIUMAN cinta daripada seorang suami buat isteri tersayang.


"Tetapi saya sedar diri, selepas berkahwin saya akan lebih selektif. Watak yang dirasakan tidak berapa sesuai dengan diri saya sebagai isteri orang dan boleh mengundang fitnah, saya tidak akan ambil," katanya jujur.

Cinta selepas kahwin

Setelah genap dua minggu bergelar isteri, Umie memanjatkan kesyukuran kerana dipertemukan dengan lelaki yang boleh melenyapkan kesunyiannya selama ini.

Akuinya, sebelum bernikah, perkara yang paling dibimbangkan adakah dia mampu mencintai suaminya sepenuh hati. Namun, kini, segala kebimbangan itu berlalu pergi kerana menurut Umie, dia kini dilanda mabuk cinta bersama suaminya.

"Saya berdoa pada Allah supaya beri saya perasaan cinta pada suami dan Alhamdulillah kini perasaan cinta itu hadir.

"Sekarang baru saya tahu, betul kata orang tua-tua, bercinta lepas kahwin lebih manis dan nikmat. Tidak tahu saya nak cakap macam mana. Macam angau pun ada. Ke mana suami saya pergi, saya mesti nak ikut. Rasa macam zaman remaja balik," ucap Umie sambil menjeling manja pada suaminya.

Kehadiran Tun

Lebih bermakna, pada majlis resepsi perkahwinan yang berkonsep Inggeris tradisional kontemporari itu turut dihadiri oleh idola Umie iaitu bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Malah, Tun sendiri menepung tawar kedua mempelai dan menitipkan nasihat kepada mereka.

"Tun memberi nasihat kepada saya supaya menjaga rumah tangga elok-elok dan semoga perkahwinan saya akan kekal sehingga akhir hayat," tutur Umie dalam senyum.


BEKAS Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali turut menepung tawar mempelai.


Beritahu Umie atau nama sebenarnya Umi Khalsum Rahmad Ali, majlis resepsinya pernah tertangguh gara-gara kesibukan Tun.

"Saya berjumpa sendiri dengan Tun, pada mulanya semuanya okey tetapi tarikh resepsi terpaksa ditangguhkan kerana Tun ada hal kecemasan.

"Tun cakap dengan saya sebelum ini, resepsi nak tangguh okey tetapi jangan tangguh tarikh nikah. Jadi, bila Tun datang dan merestui perkahwinan saya, tidak dapat nak digambarkan perasaan saya sekarang ini," ujarnya adik kepada pengarah dan pelakon terkenal Erma Fatima itu lagi.

Celah suaminya, dia juga begitu terharu kerana Tun sanggup menunggu sehingga ke hujung majlis resepsi itu.

"Tun akan ke Bosnia tidak lama lagi dan memerlukan rehat. Saya tidak sangka dia akan tunggu sampai habis majlis. Katanya, dia seronok dapat menghadiri majlis resepsi ini. Itu yang membuatkan saya cukup terharu," bicara Khairuddin.

Menyentuh tentang bulan madu, pelakon yang popular menerusi filem Embun itu memberitahu, dia akan mengikut suaminya ke London selama dua minggu kerana urusan perniagaan pada April depan.

"Suami saya ke London kerana urusan kerja, disebabkan saya masih dalam tempoh cuti, jadi saya akan ikut suami. Kemudian, saya akan pulang ke Malaysia dulu dan uruskan beberapa perkara sebelum berbulan madu selama dua minggu di sekitar Eropah termasuk, Perancis, Venice, Itali dan Switzerland," balasnya.

Jangan panggil Datin

Meskipun usianya kini sudah menjangkau angka 37, Umie tidak pernah menolak andai dia diberi zuriat dalam masa terdekat. Bagaimanapun, itu bukanlah satu kemestian dalam perkahwinannya.

"Saya tahu semua orang berkahwin pasti inginkan cahaya mata tetapi saya tidak terburu-buru dan tidak tertekan untuk mempunyai anak dengan kadar segera.

"Andai dikurniakan rezeki, saya terima dengan lapang hati walaupun hanya seorang anak. Saya tidak kisah," ucapnya lagi yang kini sibuk berpindah di kediaman barunya di Bukit Kiara.


ANTARA barisan teman artis yang datang meraikan pengantin.


Bercakap tentang gelaran Datin Paduka yang dipikulnya setelah menjadi isteri kepada duda anak dua itu, Umie menjelaskan dia menghormati gelaran itu.

Bagaimanapun, dia lebih selesa jika terus dikenali sebagai Umie Aida dalam bidang seni.

"Bukannya saya tidak mahu dikenali dengan gelaran Datin Paduka. Saya tahu suami saya mendapat gelaran itu pun atas usaha kerasnya selama ini, masakan saya tidak menghormati gelaran itu.

"Tetapi sebagai pelakon, sudah bertahun-tahun orang kenal saya sebagai Umie Aida. Jadi rasanya lebih elok dan selesa jika saya terus dikenali dengan nama Umie Aida. Kalau ada yang ingin panggil saya Datin Paduka, terpulang pada mereka," jawabnya jujur.

Majlis resepsi yang mewah itu juga serikan dengan tarian tradisional dan juga nyanyian daripada teman artis seperti Ziana Zain, Salamiah Hassan dan Farhan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: