Monday, April 26, 2010

Tonik RM2 juta

SKUAD Piala Thomas & Uber negara mendapat tonik berharga pada hari terakhir Kem Bina Semangat di Port Dickson semalam apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melunaskan hutang dengan pemain bernilai RM2 juta.

SEMANGAT...pemain badminton negara jalani latihan Kem Bina Semangat  di Kem Tentera Port Dickson, semalam.
SEMANGAT...pemain badminton negara jalani latihan Kem Bina Semangat di Kem Tentera Port Dickson, semalam.
Penyerahan cek kepada pemain disampaikan sendiri presiden persatuan, Datuk Mohd Nadzmi Salleh yang hadir walaupun masih uzur.


“Kita harap semua pemain dapat fokus kepada sasaran kita untuk membawa pulang Piala Thomas. Kita tidak berniat melambatkan pembayaran insentif pemain tapi masalah aliran tunai persatuan di samping prestasi baik pemain di pentas antarabangsa menyebabkan pembayaran itu tergendala,” kata Nadzmi dalam sidang media selepas majlis penutup Kem Bina Semangat.


Penyerahan cek itu membabitkan pembayaran insentif kemenangan dan bonus ranking pemain sejak 2008 hingga Disember 2009.


Antara pemain yang menerima cek semalam adalah Datuk Lee Chong Wei, Muhd Hafiz Hashim, Tan Boon Heong, Koo Kien Keat, Zakry Latif, Fairuzizuan Tazari, Wong Mew Choo, Julia Wong, Wong Pei Tty dan Chin Eei Hui.


“Terima kasih kepada kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menghulurkan bantuan melunaskan insentif pemain. Keprihatinan Perdana Menteri membuktikan beliau tidak mahu pemain dibelenggu masalah kewangan sehingga menggugat persiapan Piala Thomas dan Uber,” kata Nadzmi.


Nadzmi dalam pada itu gembira melihat skuad Piala Thomas dan Uber yang bertambah bersemangat selepas menjalani kursus pembinaan semangat sepasukan dan motivasi selama tiga hari.


Beliau dalam pada itu mengumumkan BAM memutuskan untuk membina akademi sendiri di Jalan Cocharane, Cheras di atas tapak seluas 3.2 hektar.


Tarikh mula pembinaan bagaimanapun tidak diberitahu, namun beliau mengakui tidak sempat untuk digunakan pada program Road to London 2012.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: