Tuesday, April 20, 2010

Teka-teki Nasha




SEMAKIN bertebaran berita tentang model dan pelakon jelita, Nasha Aziz bakal menamatkan zaman bujangnya bersama pasangannya, Nur Iman Tang pada Jun tahun ini.

Namun, Nasha yang ditemui pada acara Pameran Pesona Mutiara Rafflesia di Muzium Negara baru-baru ini tidak pula mengiya atau menafikan berita tersebut walaupun pihak Rafflesia memberitahu mereka tidak sabar-sabar untuk menyarungkannya dengan busana pengantin bertatah mutiara daripada Rafflesia.

Malah, sepanjang sesi fotografi berlangsung pada majlis tersebut, perkataan kahwin tidak putus-putus terluncur keluar daripada mulutnya.

"Kalau saya nak kahwin saya mahu pakai baju gabungan tradisional Melayu dan Cina mesti cantik. Kalau saya kahwin jangan tidak datang pula," begitulah ucapnya kepada jurugambar yang asyik merakam aksinya dalam busana indah rekaan Saiful Baharin.

Bagaimanapun pada bulan yang sama Nasha juga memberitahu dia bakal ke Shanghai atas urusan kerjayanya sebagai model.

Saat disoal untuk mengesahkan berita perkahwinannya nampaknya Nasha yang dilihat berehat seketika daripada dunia lakonan lebih senang berteka-teki dengan pihak media.

Meskipun tidak menyebut sebarang tarikh mahupun persiapan perkahwinan, tetapi menerusi mata dan senyuman bahagia yang meleret di bibirnya sudah cukup memberi makna mendalam bahawa dia kini cukup bahagia dan tidak sabar untuk bergelar suri kepada lelaki yang cukup penting dalam hidupnya.

"Saya percaya cinta berlandaskan pegangan agama yang kukuh adalah lebih bermakna. Tentang soal kahwin niat itu memang ada. Siapa yang tidak mahu berkahwin tetapi buat masa ini belum lagilah.


FIGURA yang sibuk dengan peragaan ini mengakui tanggungjawab sebagai isteri, bukan sesuatu yang mudah.


"Saya juga tidak membuat sebarang persiapan. Sekarang saya sangat sibuk dengan modelling. Kalau benar saya akan berkahwin, jangan risau kerana saya akan menjemput keluarga, teman dan rakan media," tuturnya yang kali terakhir wajahnya muncul di kaca televisyen adalah untuk drama Kasih Tercipta.

Beritahu wanita berusia 39 tahun itu lagi, perkahwinan bukan untuk satu tempoh masa yang singkat. Jika boleh, dia mahu perkahwinannya kelak menjadi perkahwinan pertama dan terakhir dalam hidupnya.

"Kalau boleh saya hanya mahu berkahwin sekali sahaja seumur hidup ini. Cita-cita saya, jika saya kahwin itulah jodoh pertama dan terakhir saya sehingga kami berjumpa di syurga," ucapnya penuh serius.

Tambah Nasha yang pernah membintangi filem Trauma, perkahwinan bukan satu perkara yang mudah kerana ia disertai dengan tanggungjawab yang berat.

"Perkahwinan bukan soal persiapan majlis perkahwinan kerana itu saya boleh lakukan dengan segera hanya melalui satu panggilan telefon.

"Apa yang lebih penting, adakah saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri dan adakah dia sudah bersedia untuk menjadi suami?


NASHA percaya kepada keutuhan cinta yang berlandaskan pegangan agama.


"Perancangan untuk membina keluarga bukan satu hal yang mudah. Harus bersedia daripada segi mental, fizikal serta ekonomi yang kukuh," jelasnya yang tidak ingin dilabel sebagai pelakon stereotaip.

Umrah kali kedua

Akui Nasha, hubungannya dengan Nur Iman, 35, sudah berlanjutan selama dua tahun dan dia bersyukur kerana dipertemukan dengan lelaki yang benar-benar memahami dirinya.

Memahami kekasihnya itu seorang saudara baru, Nasha bakal membawa Nur Iman ke Mekah untuk mengerjakan umrah pada 10 Mei depan untuk mendekatkan lagi dirinya dengan Allah dan sejarah Islam.

"Kalau jadi, ini kali kedua saya buat umrah. Kali pertama saya pergi sendiri. Kami akan berada di sana lebih kurang dua minggu. Di sana kami akan meminta petunjuk mengenai jodoh kami, adakah kami sudah bersedia ke arah itu (perkahwinan)?

"Selain mengerjakan umrah, saya akan membawanya melawat makam Rasulullah, Masjid Nabawi dan sekitar Mekah," ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai majlis perkahwinan impiannya, Nasha semahunya majlis tersebut berlangsung secara sederhana dan mendapat restu daripada semua orang yang hadir.


BAKAL mengunjungi Mekah bersama Nur Iman selama dua minggu.


Mahu mengenakan baju pengantin berwarna putih yang merupakan warna kegemarannya, Nasha juga mengatakan menu makanan juga harus campuran antara budaya Melayu dan Cina.

"Itu impian saya sahaja. Selebihnya saya mahu kenal Nur Iman dengan lebih mendalam lagi bukan sekadar apa yang saya nampak di mata tetapi apa yang tidak kelihatan di mata kasar saya.

"Saya kena tahu di mana bumi untuk berpijak. Jangan inginkan sesuatu yang kita tidak mampu. Kalau tidak jumpa dengan orang itu saya sedia menunggu," luahnya meninggalkan makna tersirat yang cukup mendalam.

2 comments:

  1. kkkaaahhhpppuuuiiitttApril 20, 2010 at 11:03 PM

    artis palingggggg jambu !!!!!

    ReplyDelete
  2. Tahniah nasha...smoga impian mjadi kenyataan

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: