Wednesday, April 7, 2010

SMS temukan semula Hunny-Khairul


HUNNY dan Khairul ditepung tawar oleh bapa Hunny, Mohd. Hatim Abdullah sambil disaksikan oleh ibu Hunny, Molina Musa (kiri).


BAGI penyampai radio dan penyanyi berlesung pipit ini, jurang usia sembilan tahun bukanlah penghalang untuk dia menyemai benih cinta dengan pasangannya.

Cinta antara Hani Farhana Mohd. Hatim, 26, atau popular dengan panggilan Hunny Madu dengan pasangannya Khairul Azhar Abdul Wahid, 35, akhirnya termetrai dengan ikatan pernikahan pada 1 April lalu.

Berwalikan ayah Hunny sendiri iaitu Mohd. Hatim Abdullah, dengan sekali lafaz, Hunny sah menjadi isteri kepada Khairul pada pukul 11.30 pagi di kediaman keluarga mereka di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Hunny menerima wang hantaran sebanyak RM20,000 serba satu berserta mas kahwin RM104 simbolik dari tarikh perkahwinan mereka iaitu 1 April dan tarikh hari lahir Hunny.

Hunny turut menerima lima dulang hantaran berbalas tujuh pada majlis pernikahannya yang dilakukan secara tertutup dan diraikan bersama saudara-mara serta rakan terdekat sahaja.

Pada majlis persandingan yang diadakan di Pusat Komuniti Bukit Damansara, Bukit Damansara pada 3 April lalu, majlis resepsi sebelah siang berlangsung dengan meriah bertemakan warna putih dan hijau bagi menimbulkan rasa tenang dan sejuk.

Gedung Al-Habshee yang diberi peluang untuk menata indah perkahwinan kedua mempelai ini menggunakan bunga ros putih di serata dewan bagi menaikkan suasana romantis.

Ujar pelantun suara Miss Strong ini, dia tidak menyangka perkenalan antara mereka berdua di sebuah majlis pertunjukan fesyen melalui rakan mereka empat tahun lalu membawa mereka ke jinjang pelamin.

"Pada awal perkenalan, kami ada keluar bersama tetapi seakan tidak menjadi. Hubungan kami berdua kemudian senyap begitu sahaja apabila masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri.

"Kemudian, dua tahun lalu, melalui satu kiriman SMS ( khidmat pesanan ringkas) ucapan hari raya kami berjumpa. Ketika itulah saya nampak keikhlasannya dan kami bersedia untuk bercinta dan akhirnya bertunang pada 13 Jun 2008.

"Khairul seorang yang amat memahami dan walaupun jarak usia kami jauh, namun dia tidak pernah mengongkong atau menghalang kerjaya saya," ujar Hunny ketika ditemui di majlis persandingannya di Pusat Komuniti Bukit Damansara, Bukit Damansara di sini baru-baru ini.

Bagi Hunny, dia amat selesa dengan Khairul yang begitu memahaminya dan sentiasa memberi sokongan dalam kehidupannya.

"Kualiti-kualiti dalam diri Khairul yang hampir menyerupai bapa saya menguatkan lagi cinta saya terhadap Khairul," cerita Hunny.

Khairul pula mengagumi isterinya itu kerana Hunny seorang yang tahu menghormati orang tua dan tahu membawa diri.

"Walaupun Hunny sentiasa sibuk dengan kariernya, saya tidak perlu risau kerana Hunny pandai membawa diri sebagai seorang wanita.

"Hunny juga mempunyai ciri-ciri wanita yang saya suka dan saya sanggup hidup bersamanya sampai ke akhir hayat,"ujar Khairul yang merancang untuk berbulan madu ke Mauritius.

Khairul tidak akan menghalang kerjaya Hunny sebagai penyanyi dan pengacara radio walaupun kini mereka bergelar suami isteri.

Mengulas tentang tarikh pernikahan mereka yang jatuh pada tarikh lahir Hunny, Hunny berkata, tarikh itu dipilih bersama-sama kerana ia adalah tarikh yang istimewa buatnya.

"Memang kami inginkan tarikh itu, lagipun saya akan mendapat dua hadiah pada setiap 1 April iaitu sempena hari lahir dan ulang tahun perkahwinan," ujar Hunny berseloroh.

Majlis resepsi itu diserikan dengan tarian zapin klasik serta kontemporari persembahan kumpulan kanak-kanak dari Bandar Maharani, Muar dan persembahan artis seperti Zainal Alam Kadir, Noni, Toy dan Zahid.

Rakan-rakan artis yang hadir di majlis resepsi itu antaranya Sazzy Falak dan suami Nazril Idrus, Ning Baizura, Atilia, Farhan AF4 dan Farah AF2.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: