Monday, April 26, 2010

Sheikh Muszaphar duta Jakel


Persembahan hiburan yang turut disertai oleh wakil media.


JIKA pengasas Jakel Trading, Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad masih ada pada hari ini pasti beliau cukup berbangga

dengan kejayaan yang dicapai oleh anak-anaknya sehingga berjaya mencapai kejayaan yang gemilang.

Mula ditubuhkan pada tahun 1985 di Segamat, Johor, pelbagai onak duri dan dugaan telah dilalui namun itulah yang membawa kejayaan kepada syarikat fabrik yang semakin mencipta nama itu.

Pengarah Urusannya, Mohamed Faroz Mohamed Jakel masih merendah diri dengan mengatakan syarikatnya tidak mungkin dapat berdiri teguh seperti hari tanpa sokongan daripada pelanggan setia serta pihak media.

Sebagai tanda menghargai sokongan pihak media, Jakel Trading telah mengadakan Malam Penghargaan Media yang diadakan di sebuah hotel terkemuka baru-baru ini dan dihadiri oleh kira-kira 200 orang wartawan.

''Malam penghargaan ini juga diadakan bagi mengumumkan angkasawan pertama Malaysia, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang dipilih sebagai duta Jakel bagi koleksi pakaian lelaki yang baru dikeluarkan.

''Pemilihan Dr. Sheikh Muszaphar dibuat kerana beliau mempunyai kredibiliti yang tinggi, ketokohan, keterampilan dan menjadi idola rakyat negara ini,'' ujarnya.

Tambahnya, Jakel Trading kini mempunyai 16 buah cawangan di seluruh Malaysia, termasuk di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Melaka, Kota Bharu, Sungai Petani, Batu Pahat, Kuantan dan banyak lagi.

Ia juga baru menambah dua cawangan baru di Alor Setar dan Shah Alam.

''Cawangan Shah Alam merupakan galeri tekstil Jakel Trading yang terbesar dengan keluasan 80,000 kaki persegi.

''Pembukaan cawangan ini juga adalah bagi memudahkan pelanggan daripada sekitar Shah Alam, Taman Tun Dr. Ismail, Klang, Damansara dan Petaling Jaya yang tidak perlu lagi ke Jakel Kuala Lumpur bagi membeli kain,'' katanya.

Beliau menambah, daripada dulu lagi syarikatnya merupakan pencetus trend bagi corak-corak tekstil terkini yang menerapkan unsur Eropah dalam rekaan. Rekaan tekstilnya sentiasa berubah bagi memberikan kepuasan dan pilihan yang pelbagai kepada pelanggan.

Jakel Trading katanya, akan terus menyediakan fabrik yang bermutu tinggi dan label pereka-pereka ternama daripada negara-negara seperti Peranchis, Itali dan banyak lagi,'' kata Mohamed Faroz lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: