KUALA LUMPUR - Samsung Malaysia Electronics Sdn. Bhd. (Samsung) mahu mengekalkan penguasaan pasarannya dalam segmen televisyen di negara ini menerusi pengenalan produk terbaru yang dilengkapi dengan teknologi terkini.
Pengarah Urusannya, Yu Jai Sul berkata, antara produk terbarunya ialah televisyen dengan teknologi pemancar cahaya diod tiga dimensi definisi penuh (HD Penuh Televisyen LED 3D) satu rangkaian pilihan menyeluruh untuk hiburan 3D di rumah.
"Meskipun produk berkenaan baru berada di pasaran tempatan sejak semalam tetapi minat yang ditunjukkan oleh pengguna yang meminati barangan berinovatif amat menggalakkan,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Televisyen LED 3D yang turut dihadiri oleh Pengarah Pemasaran Samsung, Jimmy Tan Chee Wee dan Ketua Pemasaran Audio Visual Samsung, Chong Xu Jenn, di sini semalam.
Mengulas mengenai produk televisyennya itu, Jai Sul berkata, syarikat induknya, Samsung Electronics Co. Ltd. (Samsung Electonics) telah merekodkan jualan sebanyak 2.6 juta unit bagi Televisyen LED di seluruh dunia tahun lalu.
"Tahun ini, kami mengunjurkan peningkatan jualan bagi unit ini berbanding angka yang direkodkan pada tahun lalu.
"Ini kerana Samsung Electronics disenaraikan sebagai syarikat nombor satu dalam pasaran global yang menggunakan pendekatan teknologi terbaru (HD Penuh Televisyen LED 3D) dan ia secara langsung akan mengukuhkan jenama kami di peringkat global,'' katanya.
Selain itu, Chee Wee menjelaskan, produk terbaru itu dijual menerusi pakej dan boleh didapati di pasaran bermula semalam dengan harga serendah RM9,999.
Tambah beliau, permintaan terhadap televisyen 3D akan melonjak sehingga 13.6 peratus berbanding 0.3 pada tahun lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: